sukan

Nafuzi harap Harimau Muda dapat manfaatkan aksi persahabatan menentang pasukan Asia Barat

SHAH ALAM: Siri aksi persahabatan menentang Oman dan Kuwait menjadi medan penting buat skuad bawah 23 tahun (B-23) negara dalam usaha memantapkan persediaan sebelum mengharungi saingan Kelayakan Piala Asia B-23 awal bulan depan.

Dua perlawanan itu akan berlangsung sepanjang kem latihan pusat di Bangkok, Thailand, sekali gus memberi peluang terbaik kepada barisan muda negara untuk menguji tahap permainan mereka menentang pasukan Asia Barat yang terkenal dengan corak fizikal dan taktikal.

Jurulatih skuad B-23, Nafuzi Zain menegaskan aksi menentang Oman dan Kuwait bukan sekadar perlawanan ujian biasa, sebaliknya pentas untuk menilai keserasian, kecergasan serta keberkesanan strategi pasukan.

“Pertemuan menentang Oman dan Kuwait sangat penting. Kedua-dua pasukan ini mempunyai reputasi besar di Asia Barat dan perlawanan ini akan beri gambaran sebenar tahap persediaan kami,” katanya, ketika ditemui pada sesi latihan skuad B-23, di Bukit Jelutong, semalam.

Menurut Nafuzi, perlawanan itu juga memberi peluang pemain membiasakan diri dengan tekanan aksi kompetitif sebelum turun berdepan Lubnan pada perlawanan pertama kelayakan.

“Lubnan pasukan yang baik, ditambah pula Mongolia manakala Thailand sebagai tuan rumah yang sangat kuat di gelanggang sendiri. Jadi, persiapan melalui aksi persahabatan ini memang wajib untuk kita benar-benar bersedia,” katanya.

Skuad muda negara diundi dalam kumpulan sukar bersama Lubnan, Mongolia dan Thailand, sekali gus meletakkan cabaran besar untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia B-23.

Walaupun begitu, Nafuzi optimis peluang Malaysia tetap ada sekiranya pemain mampu mengekalkan disiplin tinggi dan fokus sepanjang kejohanan.

“Memang bukan mudah, tapi sasaran kami tetap untuk layak ke pusingan akhir. Saya percaya dengan kerja keras, kita mampu capai sesuatu,” ujarnya.

Beliau menambah, aksi persahabatan menentang Oman dan Kuwait juga penting untuk memberi peluang pemain muda menyesuaikan diri dengan tempo perlawanan antarabangsa yang pantas.

“Aspek mental, kecergasan dan taktikal akan jadi penentu. Kalau semua dapat digabungkan dengan baik, saya yakin skuad B-23 mampu beri kejutan,” katanya.

Nafuzi juga berharap pemain memanfaatkan sepenuhnya peluang aksi di Bangkok sebagai persiapan terakhir sebelum melangkah ke gelanggang sebenar Kelayakan Piala Asia B-23.