sukan

Nafuzi harap ‘tonik luar biasa’ aksi di Likas

ALOR SETAR: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Nafuzi Zain berharap semangat juang pemainnya terus membara sebagaimana yang ditampilkan pada dua aksi Liga Super lalu apabila berkunjung ke Kota Kinabalu untuk berdepan Sabah FC petang esok.

Kedah yang kini menghuni tangga ke-10, sebelum ini bangkit mengutip mata dengan kemenangan 1-0 ke atas Terengganu FC pada 19 Oktober dan seri 1-1 ketika berdepan Terengganu FC, Jumaat lalu di sebalik isu tunggakan gaji yang masih belum selesai sepenuhnya.

Nafuzi berkata meskipun skuadnya dilihat mempamerkan semangat tinggi dalam dua aksi sebelum ini, namun isu penyelesaian tunggakan gaji pada ketika ini sangat diharapkan oleh pasukan agar dapat memberi tenaga tambahan ketika beraksi menentang skuad Badak.

“Jadi dari segi persiapan itu kami perlu lakukan dengan cukup bersedia dan saya lihat setakat ini kekal bersemangat dan semangat pemain tidak luntur walaupun berdepan dugaan yang masih kami hadapi.

“Namun pemain tetap memerlukan satu ‘energy booster’ yang boleh beri tonik luar biasa,” katanya.

Nafuzi berkata, dia akan memikirkan perancangan dan strategi yang terbaik untuk beraksi di Likas kerana Sabah pasukan yang kuat dan kini berada di tangga ketiga Liga Super.

sumber:-BH

“Kami juga menganggap aksi berdepan Sabah ini satu aksi yang sukar dan perlu lebih waspada bagi memastikan kami tidak keciciran mata,” katanya.