Kuala Lumpur: Kemenangan besar ke atas Brunei nyata masih belum memuaskan hati pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Nafuzi Zain terutamanya kegagalan dalam memastikan gawang negara tidak dibolosi.
Dalam aksi kedua Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno semalam, Malaysia bangkit daripada kekalahan di tangan Filipina apabila membelasah Brunei 7-1.
Meskipun menang besar, Nafuzi jelas tidak gembira apabila anak buahnya melepaskan satu gol yang disifatkan satu kerugian.
“Dibolosi walaupun kita menang besar, itu adalah satu kerugian kepada pasukan.
“Kita perlu mengelak dari segala yang terjadi dan pengajaran (kepada pemain) agar jangan ambil mudah.
“(Kita) dibolosi gol Brunei tidak sepatutnya berlaku,” kata bekas jurulatih Terengganu FC itu pada sidang media selepas aksi itu.
Skuad negara yang tumbang 0-2 kepada Filipina bangkit dengan aksi lebih kemas untuk meledak tujuh gol.
Jaringan pasukan negara diraih menerusi dua gol Haqimi Azim Rosli dan Danish Syamer serta masing-masing satu oleh Haykal Danish Mohamad Haizon, Fergus Tierney dan satu gol sendiri lawan oleh Nazry Aiman.
sumber:- HM
Malaysia kini membawa misi wajib menang ke atas negara jiran, Indonesia pada Isnin ini jika mahu layak ke peringkat separuh akhir Piala AFF B-23.