sukan

Nafuzi mula ‘buru’ bintang muda

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Nafuzi Zain mendedahkan bahawa dia sudah mula memantau pemain muda negara sejak awal bulan ini.

Bekas pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC itu menjelaskan, langkah berkenaan sebagai persiapan untuk menghimpunkan pemain bagi menghadapi tiga kejohanan penting tahun ini.

Malah, Nafuzi turut memasang impian besar untuk mencipta kejayaan meskipun kali pertama diberi tanggungjawab mengemudi pasukan di peringkat kebangsaan.

“Untuk tahun ini kita akan ada tiga kejohanan iaitu Kejuaraan B-23 ASEAN, Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA. Saya sudah memulakan pemantauan dari awal Januari dan mungkin panggilan pertama untuk pemain adalah pada Mac nanti.

“Saya melakukan pemantauan dan melihat semua pasukan yang bertanding di Liga Super dan Piala MFL. Kita tengok dari segi potensi pemain yang mana bersesuaian dengan cara kita akan bermain.

“Kita tahu kebanyakan pemain yang menyertai kejohanan sebelum ini masih boleh bermain dan saya terbuka kepada mana-mana pemain.

“Mungkin juga kita mencari peluang untuk memanggil pemain baharu dan juga pemain sedia ada. Pemain yang menunjukkan prestasi terbaik akan berada dalam pasukan,” katanya dalam temu bual yang disiarkan di Youtube Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Selain itu, Nafuzi turut berterima kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail kerana memberi kepercayaan untuk dia mengemudi pasukan B-23 negara.

sumber:-BH

“Saya begitu teruja buat pertama kalinya berkhidmat untuk skuad kebangsaan. Ini satu peluang yang terbaik untuk saya meneruskan karier di peringkat kebangsaan,” katanya.