KUALA LUMPUR: Pemain Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Selangor mendominasi senarai 30 pemain yang akan menyertai kem latihan pusat skuad bawah 23 (B-23) bermula, Selasa ini.
Kem latihan pusat itu sebagai persiapan buat skuad kendalian Nafuzi Zain bagi menghadapi kejohanan Piala ASEAN B-23 2025 yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia, bulan depan.
Berdasarkan senarai itu, Nafuzi memanggil 12 pemain daripada JDT II dan lapan pemain Selangor manakala selebihnya dari Kuala Lumpur City, Penang, perak, Melaka, Sabah, Negeri Sembilan dan Terengganu.
Pengarah Teknikal skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengakui barisan kejurulatihan perlu bekerja keras untuk memantau dan menilai barisan pemain muda untuk skuad B-23.
“Kita tak boleh kata ia lebih sukar sekarang kerana tiada pertandingan B-23. Jurulatih perlu belajar dan menyesuaikan diri dengan situasi ini.
“Kita perlu cari jalan untuk memantau pemain B-23. Kita perlu bekerjasama dengan jurulatih pasukan untuk memantau keadaan pemain tersebut,” katanya pada sidang media mengumumkan senarai pemain B-23 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.
Pada kejohanan Piala ASEAN B-23 2025, skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, Indonesia, Filipina dan Brunei.
sumber:- BH
Anak buah Nafuzi akan membuka tirai kejohanan berdepan Filipina pada 15 Julai ini sebelum menentang Brunei (18 Julai) dan Indonesia (21 Julai).