sukan

Nafuzi seru anak buahnya buru tiga mata pertama

ALOR SETAR: Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Nafuzi Zain menyeru anak buahnya bangkit memburu tiga mata pertama pada aksi Liga Super menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, Sabtu ini.

Menurutnya, dua kekalahan lalu di tangan Selangor FC dan Perak FC memberi pengajaran berharga supaya Sang Kenari tidak lagi keciciran mata yang meletakkan mereka kini di tangga ke-11 carta tanpa sebarang pungutan mata.

“Sebaik berjaya melangkah ke saingan suku akhir Piala FA dengan kemenangan 5-0 pada aksi lalu, fokus kami kini beralih untuk kembali bangkit memburu kemenangan di tempat lawan pada saingan Liga Super.

“Selepas menang ke atas Sri Pahang baru-baru ini, saya sifatkan semangat mereka sedang membara. Namun kami bersedia dan mahu bangkit dalam meneruskan aksi liga dengan kekuatan yang kami ada.

“Apa yang penting adalah tahap fokus dan bersiap sedia dengan lebih baik dalam misi bangkit memburu kemenangan bagi menghadapi aksi yang saya jangkakan sengit dan cukup mencabar di tempat lawan kali ini,” katanya sebaik tamat latihan petang di Stadium Sultan Abdul Halim semalam.

Nafuzi juga berkata, kekuatan di jentera serangan seperti dipamerkan Milos Gordic dan Ebenezer Assifuah pada aksi Piala FA lalu memberikan inspirasi terbaik buat jentera serangan Sang Kenari bagi meneruskan misi memburu tiga mata di Stadium Bandaraya.

sumber:-BH

“Kehadiran semula penyerang Syafiq Ahmad yang nampak bersedia selepas pulih dari kecederaan hamstring dan terlepas aksi menentang Bukit Tambun FC pada aksi Piala FA lalu juga dijangka akan membantu memperkuatkan lagi jentera serangan pasukan,” katanya.