KETUA jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain tetap tenang menghadapi tekanan menjelang aksi penentuan Kumpulan B menentang Vietnam pada Khamis ini, meskipun perlawanan itu bakal menentukan sama ada Malaysia meneruskan kemaraan atau berdepan penyingkiran awal di Sukan SEA Thailand 2025.
Malaysia kini berkongsi tiga mata bersama Vietnam, namun kelebihan jaringan memihak kepada skuad Harimau Muda.
Walaupun situasi itu memberi sedikit ruang bernafas, Nafuzi tidak mahu pemain dibebani kebimbangan berlebihan, sebaliknya menuntut mereka turun dengan keyakinan dan disiplin tinggi.
“Seperti yang diketahui, Vietnam merupakan pasukan yang kuat terdiri daripada pemain pantas, berbakat dari segi teknikal, tenang dan matang.
“Kami perlu memberikan yang terbaik untuk mengalahkan mereka,” katanya pada sidang media selepas menewaskan Laos 4-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok pada Sabtu.
Pada Khamis ini, Malaysia hanya perlu mengelakkan kekalahan untuk terus bersaing dalam kejohanan, manakala kemenangan akan memastikan slot automatik ke separuh akhir.
Sebagai rekod, Vietnam merupakan juara pada edisi 2019 dan 2021.
Kumpulan B dianggotai Malaysia, Vietnam dan Laos. Kumpulan A pula menampilkan tuan rumah Thailand dan Timor-Leste, manakala Kumpulan C terdiri daripada juara bertahan Indonesia, Myanmar, Filipina dan Singapura.
Juara setiap kumpulan serta naib juara terbaik akan mara ke separuh akhir.
Pencapaian terbaik skuad negara dalam acara bola sepak lelaki Sukan SEA adalah merangkul pingat emas dalam enam edisi iaitu pada 1961, 1977, 1979, 1989, 2009 dan 2011.
Pada edisi 2023 di Kemboja, skuad negara kandas di peringkat kumpulan apabila menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan B di belakang Thailand dan Vietnam.