Ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Nafuzi Zain mempertahankan tonggak pertahanan, Aiman Yusuf Nabil susulan kad merah diterima pemain itu ketika pasukannya tewas 0-1 kepada Thailand dalam aksi separuh akhir Sukan SEA 2025, semalam.
Aiman mengalami detik malang pada awal permainan di Stadium Rajamangala, Bangkok apabila dilayangkan kad kuning pada minit keenam susulan kekasaran yang dilakukan ke atas Iklas Sanron dan situasi itu menyaksikan pengadil memberikan sepakan percuma kepada Thailand.
Malah, sepakan percuma itu yang diambil Yotsakorn Burapha berjaya menghasilkan jaringan tunggal perlawanan untuk membawa Thailand ke pentas akhir berdepan Vietnam di gelanggang sama, Khamis ini.
Lebih malang, Aiman menerima kad kuning kedua pada minit ke-16 yang membawa kepada layangan kad merah selepas dia menarik Sanron, sekali gus menyaksikan Harimau Malaya B-23 terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh lebih 70 minit.
Nafuzi bagaimanapun menegaskan pemain muda berkenaan tidak seharusnya dipersalahkan sambil menjelaskan bahawa pengalaman itu akan membentuk Aiman menjadi pemain yang lebih baik pada masa depan.
“Dia masih sangat muda, baru berusia 19 tahun dan perjalanan dia masih panjang. Dia prospek yang baik untuk bola sepak Malaysia, terutama di posisi pertahanan kanan.
“Mungkin ia berpunca daripada kekurangan pengalaman, mungkin tekanan perlawanan besar seperti ini dan intensiti tinggi. Perkara seperti ini boleh berlaku.
“Pada perlawanan besar seperti ini, kadang-kadang anda melakukan kekasaran yang tidak perlu walaupun anda tahu sudah ada kad kuning. Mungkin dia perlu mengawal emosi dan keghairahan dengan lebih baik, tetapi semua ini adalah sebahagian daripada proses. Saya tidak boleh menyalahkan dia,” katanya.
Nafuzi turut menyentuh kekurangan pilihan pemain berpengalaman di bangku simpanan, dengan beberapa tonggak utama tersisih akibat kecederaan yang mengehadkan kemampuannya untuk menguruskan situasi berbeza.
Walaupun kekurangan seorang pemain, Malaysia tetap mempamerkan permainan yang baik dan berjaya mengekang asakan pasukan tuan rumah serta turut mencipta beberapa peluang.
Nafuzi berkata, beliau bangga dengan karakter yang ditunjukkan pemain dan menyifatkan pasukan mempamerkan corak pertahanan yang lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini meskipun beraksi dengan kekurangan pemain.
“Walaupun beraksi dengan 10 pemain, kami menunjukkan disiplin dan struktur yang baik. Pemain berjuang hingga ke wisel penamat dan ia satu perkara yang sangat saya banggakan,” katanya.
Malaysia kini memberi tumpuan kepada perlawanan penentuan pingat gangsa menentang Filipina, Khamis ini, dengan Nafuzi berharap kesilapan ketika aksi menentang Thaliand memberi pengajaran yang berguna buat pasukannya.