ALOR SETAR: Ketiadaan Syafiq Ahmad yang tidak boleh diturunkan ketika aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman Jumaat ini tidak membimbangkan Nafuzi Zain.
Sebaliknya, ketua jurulatih Sang Kenari itu berkata, beliau sedang mempertimbangkan beberapa pemain yang boleh mengisi tempat Syafiq yang berstatus pemain pinjaman JDT itu dalam mempertajamkan jentera serangan pasukan.
“Ada beberapa pilihan, dan kita akan pastikan pemain itu sesuai untuk kita gunakan dan ia bergantung dengan bagaimana cara kita mahu bermain menentang JDT nanti.
“Jadi saya sedang menilai siapakah yang paling sesuai dan mampu memberi impak terbaik di posisi itu,” katanya.
Jelas Nafuzi, beliau berharap pemain dapat memperagakan aksi terbaik untuk menyaingi penyandang juara itu sekali gus mendapat bekalan di laman sendiri.
“Semua pemain Kedah berpengalaman, dan saya yakin mereka tidak gentar akan tekanan memandangkan mereka sudah biasa berhadapan JDT sejak beberapa musim yang lalu.
“Cuma kita akan bersedia secukupnya kerana JDT sentiasa akan terus bertambah baik berbanding musim sebelum ini.
sumber:-BH
“Apapun kita mahukan aksi terbaik nanti dan cuba dapatkan keputusan yang positif bagi mengharungi satu lagi aksi di tempat lawan pada 4 Ogos depan,” katanya.