sukan

Nafuzi yakin anak buah mampu benam Brunei

KUALA LUMPUR: Selepas kekalahan mengejut kepada Filipina, pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain yakin anak buahnya mampu bangkit apabila menentang Brunei dalam aksi kedua Piala ASEAN B-23, petang esok.

Menurut Nafuzi, kekalahan itu memberi tamparan hebat kepada pemain, namun mereka sudah kembali fokus dan berazam untuk memperbaiki kesilapan dalam perlawanan seterusnya.

“Memang pemain sedikit kecewa dan sedih selepas tewas kepada Filipina kerana kekalahan itu tidak dijangka. Tapi inilah bola sepak.

“Kami sudah buat ‘post-mortem’, berbincang secara terus dengan pemain. Alhamdulillah, saya nampak moral mereka semakin baik.

“Mereka menyesali kekalahan lalu dan berjanji akan bangkit lawan Brunei,” katanya.

Mengulas mengenai Brunei yang tewas besar 0-8 kepada Indonesia sebelum ini, Nafuzi tetap memberi amaran kepada pemain tidak memandang rendah kemampuan lawan.

“Saya lebih fokus kepada persediaan pasukan sendiri. Kita tahu walaupun bertemu pasukan yang dianggap lemah, jika kita tak bermain dengan baik, kemenangan tetap sukar dicapai.

“Keutamaan pasukan ketika ini ialah meningkatkan ketajaman di depan gol selepas gagal memanfaatkan beberapa peluang ketika menentang Filipina.

“Di peringkat antarabangsa, peluang bukan datang banyak kali. Jadi bila peluang hadir, kita wajib jaringkan gol. Itu fokus utama kita sekarang,” katanya.

Tambahnya lagi, aspek pertahanan perlu diberi perhatian kerana kelekaan sekecil mana pun mampu mengundang padah buat skuad negara.

Katanya, setiap pemain perlu kekal fokus sepanjang perlawanan dan tak boleh leka walaupun sesaat kerana kesilapan itu boleh jadi punca kita bolos.

sumber:- HM

Malaysia dijangka menurunkan beberapa muka baru dalam kesebelasan utama bagi memastikan kemenangan dicapai, sekali gus memberi semangat tambahan sebelum bertemu Indonesia pada 21 Julai ini.