sukan

Naga Api kini fokus analisa video demi mencongak strategi ampuh

KEM beregu lelaki negara menggunakan analisis video bagi mencongak strategi ampuh dalam misi memburu gelaran pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Perancis akhir bulan ini.

Ketua jurulatihnya, Herry Iman Pierngadi berkata, rakaman tersebut menjadi panduan buat tiga beregu negara dalam usaha mengintai kelemahan dan kekuatan pasangan lawan pada kejohanan berprestij itu.

Menurutnya, rujukan melibatkan aksi Terbuka Jepun dan China bulan lalu kerana corak permainan beberapa pasangan terbaik dunia dari China, India dan Korea Selatan sentiasa berubah serta tidak boleh bergantung kepada analisis lama.

“Mereka (beregu lelaki) itu sering berjumpa dalam pertandingan. Salah satunya kita mesti gunakan analisis video supaya mengetahui kelebihan dan kekurangan lawan. Kita juga dapat tahu kekurangan kita di mana lalu dapat ditambah baik.

“Kebiasaannya saya berbincang dengan pemain untuk perancangan permainan dan strategi menghadapi mereka (lawan).

“Ini cara kita dapat mencari perbezaan kecil yang menentukan kemenangan pada hari perlawanan,” katanya ketika ditemui media selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Selasa.

Berdasarkan undian, gandingan utama, negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang diletakkan selaku pilihan kedua dilihat mempunyai laluan baik untuk memburu kejuaraan dunia kedua.

Mereka berpotensi berdepan pasangan utama China dan India, Liang Wei Keng-Wang Chang serta Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam saingan suku akhir.

Dalam pada itu, Herry yang terkenal dengan julukan Naga Api turut berharap gandingan nombor tujuh dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mampu melepasi cabaran suku akhir yang berpotensi berdepan pilihan pertama kejohanan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Malah beliau mahu anak buahnya itu menjadikan kekalahan di tangan pasangan Korea Selatan di suku akhir Terbuka Jepun sebagai pengajaran menerusi analisis semula.

“Kalau di Jepun kita lihat mereka kalah set pertama (dengan Korea) bagaimana dan set kedua menang bagaimana. Jadi perancangan permainannya, strategi kita harus lihat bagaimana kita tengok video analisis itu,” katanya.

Kejohanan yang bermula 25 Ogos ini menyaksikan Malaysia menurunkan pasangan teramai dengan empat beregu lelaki menerusi Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King serta pasangan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik mencipta sejarah pada edisi 2022 selepas menjadi wakil negara pertama meraih emas selepas menewaskan bekas juara dunia dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan.