Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi merumuskan prestasi barisan beregu utama kebangsaan dalam tiga kejohanan awal musim ini sebagai kurang memberangsangkan jika dibandingkan tempoh sama tahun lalu.
Menurut Herry yang digelar Naga Api, kegagalan meraih sebarang gelaran juara setakat ini jelas berbeza dengan permulaan musim 2025 apabila beregu negara berjaya menghadiahkan satu kejuaraan.
“Ya, kalau dibanding awal tahun lalu, kurang bagus hasilnya,” katanya kepada BH Sukan.
Selepas tiga kejohanan awal musim ini, pencapaian terbaik hadir menerusi gandingan nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang muncul naib juara Terbuka Malaysia, awal bulan ini.
Sebaliknya, tahun lalu menyaksikan Man Wei Chong-Tee Kai Wun merangkul gelaran juara Masters Indonesia dalam tempoh sama.
Bagaimanapun, Wei Chong-Kai Wun gagal mempertahankan kejuaraan itu apabila tewas kepada gandingan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani buat kali keenam berturut-turut pada aksi suku akhir Masters Indonesia, malam tadi.
Pasangan ranking keenam dunia itu terpaksa akur dengan kekalahan straight set 20-22, 19-21 dalam perlawanan selama 38 minit di Istora Senayan, sekali gus menamatkan misi mempertahankan gelaran.
Mengulas perlawanan itu, Herry menegaskan perancangan permainan sebenarnya berada di landasan tepat, namun kesilapan pada mata-mata akhir menjadi punca utama kekalahan.
“Strategi permainan sudah betul, hanya pada mata-mata akhir ada lakukan kesilapan. Set pertama sepatutnya boleh dimenangi, tetapi terlalu bertahan dan kena ‘servis curi’ dua kali ketika kurang bersedia,” katanya.
Kekalahan itu juga menyaksikan Wei Chong–Kai Wun kandas di peringkat suku akhir buat kali ketiga musim ini selepas skrip sama di Terbuka Malaysia dan Terbuka India.
Dalam pada itu, Herry memaklumkan fokus kini turut diberikan kepada peningkatan tahap fizikal Aaron–Wooi Yik selepas pasangan itu tersingkir seawal pusingan pertama Masters Indonesia.
“Fokus dalam gelanggang menurun, banyak kesilapan sendiri dan inisiatif menyerang kurang, lebih banyak bertahan. Jadi kami akan perbaiki aspek fizikal kerana masih ada lebih sebulan masa sebelum kejohanan di Eropah,” tambahnya.
Bekas juara dunia itu akan mengharungi dua kejohanan di Eropah bermula Terbuka Jerman dari 24 Februari hingga 1 Mac diikuti Seluruh England dari 3 hingga 8 Mac depan.