KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, tampak tidak main-main dalam misinya untuk menyaksikan anak buahnya merangkul gelaran Seluruh England di Birmingham, bulan depan.
Jurulatih berusia 64 tahun yang digelar ‘Naga Api’ itu berkata dia sendiri turun padang mengendalikan sesi latihan fizikal barisan beregu lelaki kebangsaan sepanjang tempoh tiga minggu persiapan menjelang kejohanan Super 1000 itu yang akan berlangsung dari 3 hingga 8 Mac ini.
Menurut Herry, modul latihan intensif sudah pun bermula dengan penekanan khusus terhadap aspek fizikal termasuk kardio, kekuatan, kelajuan serta ketangkasan (agility), selain pemantauan rapi terhadap kelemahan setiap pemain.
“Sekarang ini kita sudah mula persiapan untuk jelajah Eropah, termasuk Terbuka Jerman dan fokus utama sudah tentu Seluruh England. Kira-kira ada tiga minggu untuk persiapan dan tempoh itu kita beri penekanan kepada fizikal, bukan hanya VO2 Max tetapi juga kardio, kekuatan dan kelajuan.
“Saya nampak pemain cukup bersemangat melakukan persiapan bagi menghadapi Seluruh England ini,” kata Herry.
Mengulas lanjut, bekas jurulatih Indonesia selama tiga dekad yang melahirkan ramai juara dunia itu berkata, dia mengambil keputusan mengendalikan sendiri latihan fizikal pada setiap Isnin dan Khamis petang sebagai langkah tambahan bagi memastikan kecergasan pemain benar-benar berada pada tahap optimum.
“Program ini sambung daripada yang sedia ada, cuma ada sedikit tambahan daripada saya. Untuk Seluruh England ini, sepanjang tiga minggu persiapan, sesi fizikal kardio dan agility saya pegang sendiri.
“Saya mahu pantau dengan lebih dekat kerana sudah nampak mana yang kurang dan apa yang perlu ditambah,” jelasnya.
Seramai lima beregu lelaki kebangsaan bakal beraksi di Seluruh England diketuai gandingan nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, diikuti Man Wei Chong-Tee Kai Wun (6), Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King (18), Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri (33) serta Kang Khai Xing-Aaron Tai (35).
Tumpuan utama bagaimanapun terarah kepada Aaron-Wooi Yik yang dilihat paling berpotensi menamatkan kemarau kejuaraan negara di kejohanan itu, selepas dua kali mara ke final pada edisi 2019 dan 2024 namun sekadar bergelar naib juara.
Herry percaya, gandingan itu memiliki segala ramuan diperlukan untuk melangkah lebih jauh dan berpeluang mencipta pertembungan final berprofil tinggi menentang beregu nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Selepas menyaksikan kekalahan tipis Aaron-Wooi Yik kepada pasangan Korea itu pada final Terbuka Malaysia, bulan lalu, Herry merasakan sasaran menjulang gelaran Seluruh England bukan sesuatu yang mustahil.
“Yang pasti kita perlu lihat dulu undian. Kalau ikut ranking, satu Korea dan Aaron-Wooi Yik nombor dua, jadi harapnya boleh jumpa lagi di final dan memang ada peluang.
“Kita tengok di final Terbuka Malaysia tempoh hari, sikit lagi sebenarnya. Ada dua tiga mata di hujung perlawanan yang Aaron-Wooi Yik buat kesilapan. Kalau tidak berlaku, mungkin keputusannya boleh jadi berbeza,” katanya.
Pemain negara akan beraksi di Terbuka Jerman dari 24 Februari hingga 1 Mac yang dianggap sebagai kejohanan pemanas badan sebelum ke Birmingham.
“Jika ditanya kepada saya, sudah tentu saya mahukan kejuaraan di semua kejohanan. Namun secara jujur, ketika ini saingan paling sengit adalah dalam beregu lelaki.
“Selain pasangan Korea itu, saya rasa sesiapa sahaja boleh menang atau kalah. Sebab itu persiapan perlu dibuat dengan lebih baik,” kata Herry.