sukan

Naib juara jadi rebutan dua kelab gergasi Liga Super

KUALA LUMPUR: Selepas kejuaraan Liga Super sudah sah kekal milik Johor Darul Ta’zim (JDT), tumpuan ketika ini lebih terarah kepada perebutan gelaran naib juara antara Selangor dan Sabah.

Selangor dan Sabah akan membuat perhitungan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok dengan kedua-dua pasukan membawa misi sama untuk meraih tiga mata berharga.

Atas kertas, kelebihan tampak lebih memihak Selangor berdasarkan prestasi semasa selain skuad Gergasi Merah akan beraksi di halaman sendiri yang mana mereka masih segar dengan kejayaan menjulang Piala Cabaran di gelanggang sama, Sabtu lalu.

Seandainya berjaya menewaskan Sabah, skuad kendalian Katsuhito Kinoshi akan memiliki kelebihan 11 mata di depan skuad Sang Badak dengan saingan hanya berbaki empat perlawanan.

Situasi itu boleh meletakkan Gergasi Merah dalam kedudukan lebih selesa dan hampir pasti untuk mempertahankan gelaran naib juara liga yang dimenangi musim lalu.

Kinoshi bagaimanapun enggan membuat sebarang ‘kira-kira’, sebaliknya lebih menumpukan kepada corak permainan perlu dimainkan pasukannya dalam usaha meraih kemenangan.

“Saya jurulatih bola sepak, bukan guru matematik. Jadi saya tidak mahu menghitung sesuatu, hanya sentiasa fokus kepada tiga mata. Sudah pasti kami perlu mendapatkan tiga mata setiap perlawanan dan kami akan berusaha.

“Menamatkan saingan di kedudukan kedua sasaran kami. Saya sudah terangkan kepada pemain bahawa kami ada dua misi iaitu menjuarai Piala Cabaran (sudah dicapai) dan meraih tempat kedua (dalam liga). Jadi, kita akan fokus kepada sasaran seterusnya.

“Sabah pasukan yang bagus dan memiliki ramai pemain berkualiti. Saya tahu ia akan menjadi perlawanan yang sengit, namun paling utama adalah memikirkan mengenai kami, bagaimana mahu mengekalkan corak permainan kami dan bermain secara menyerang seperti menentang PDRM,” katanya.

sumber:- BH

Sabah berdepan prestasi kurang baik dalam dua aksi terakhir mereka apabila tercicir mata penting di halaman sendiri selepas terikat 2-2 dengan Sri Pahang dan 1-1 menentang Kuala Lumpur (KL) City.