sukan

Naib juara Liga Super cukup gembirakan Selangor

KUALA LUMPUR: Kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur (KL) City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam meletakkan Selangor pada landasan terbaik untuk sekurang-kurangnya mempertahankan gelaran naib juara Liga Super.

Skuad Gergasi Merah yang menghuni tangga kedua mengumpul 38 mata dalam 17 perlawanan dan berada sembilan mata di depan pasukan tangga ketiga, Sabah yang masih kekurangan satu perlawanan.

Bagaimanapun, peluang untuk skuad kendalian Katsuhito Kinoshi memburu kejuaraan tampak sukar selepas dibezakan 11 mata dari pendahulu yang juga juara bertahan 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kinoshi menjelaskan, beliau tetap akan gembira walaupun Selangor menamatkan saingan musim ini di kedudukan kedua, sekali gus menyamai pencapaian musim lalu.

“Saya berpuas hati dengan keputusan (menentang KL City), namun kami masih perlu tingkatkan lagi persembahan dan latihan untuk menghadapi perlawanan akan datang menentang Penang.

“Kami sentiasa fokus kepada perlawanan seterusnya, jadi dengan keputusan yang baik kami boleh capai kedudukan kedua. Jika kami dapat lakukannya, saya amat gembira dan ia juga sasaran penting untuk musim ini.

“Perkara paling penting adalah menjadi pasukan yang bagus dan membentuk pasukan Selangor dengan corak permainan terbaik,” katanya.

Jaringan tunggal pemain import, Alvin Fortes pada minit ke-63 memberikan kemenangan penting buat Selangor dalam perlawanan itu.

Sementara itu, pengendali KL City, Miroslav Kuljanac mengakui kecewa apabila pasukannya melepaskan peluang untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.

“Kami sudah berikan yang terbaik yang mana pada babak pertama tiada masalah. Babak kedua kami ada peluang tetapi tidak berjaya menjaringkan gol.

sumber:-BH

“Saya sedikit kecewa kerana saya percaya kami sepatutnya boleh mendpaat satu mata berdasarkan persembahan di atas padang,” katanya.