sukan

Nanthakumar tawar diri bimbing NSFC

SEREMBAN: Pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), K Nanthakumar bersedia untuk menyambung tugas itu sekiranya pihak pengurusan kelab ingin memberinya peluang kedua bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025-2026.

Pengendali berusia 48 tahun itu memaklumkan, setakat ini belum ada sebarang perbincangan dilakukan antara kedua-dua pihak dan pihaknya menyerahkan kepada pengurusan kelab terbabit untuk menentukan kedudukan itu.

“Setakat ini belum ada perbincangan (mengenai ketua jurulatih musim depan), walaupun kontrak musim ini akan tamat pada hujung bulan ini termasuk membabitkan pemain.

“Kemungkinan dalam masa dua minggu ini pihak pengurusan kelab akan memanggil kita untuk bincang pasal kontrak.

“Tahun ini saya hanya sebagai careker (pengendali sementara). Saya telah cuba buat yang terbaik untuk bantu pasukan ini walaupun pencapaian diraih kurang membanggakan,” katan Nanthakumar selepas perlawanan penutup tirai musim ini menentang Kuching City FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Dalam aksi itu, Negeri Sembilan FC tewas 3-1 kepada Kuching City FC hasil jaringan Jordan Mintah pada minit ke-15 diikuti dua sepakan penalti oleh Petrus Shitembi (minit ke-36) dan Mintah (masa kecederaan), manakala gol sagu hati skuad Hobin Jang Hobin dijaringkan A Selvan pada minit ke-71.

Mengulas lanjut sekiranya beliau mendapat kepercayaan meneruskan tugas berkenaan, Nanthakumar menjelaskan akan menukar semua pemain import yang digunakan pasukan itu pada musim ini.

Menurutnya, beliau akan mendapatkan pemain import dan tempatan terbaik bagi membentuk satu pasukan mantap dan boleh bersaing di tahap tinggi.

“Jika mereka beri peluang bagi tahun hadapan (musim 2025-2026), saya mungkin akan mendapatkan pemain tempatan dan import yang terbaik untuk pasukan,” kata pemain berasal dari Perak itu.

Mengulas mengenai desas desus dalam kalangan peminat dan penyokong setia pasukan berkenaan bahawa bekas ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil bakal mengambil alih posisi ketua jurulatih NSFC bagi musim depan, Nanthakumar berkata, beliau menyedari perkara terbabit.

“Saya pun ada dengar perkara itu, tapi terpulang kepada pengurusan kelab. Pada saya kelab perlu lantik ketua jurulatih terlebih dulu sebelum membuat pemilihan pemain bagi musim baharu.

“Ketua jurulatih perlu diberi ruang pilih pemain yang dikehendaki,” katanya.

sumber:- BH

Selepas berakhir aksi malam tadi, Negeri Sembilan menamatkan kempen Liga M musim 2024-2025, ditangga kedua tercorot, apabila mengumpul 16 mata hasil empat kemenangan dan empat seri daripada keseluruhan 24 perlawanan yang dilalui.