sukan

Nasib Harimau Malaya bakal diketahui tidak lama lagi

Perkembangan bola sepak negara semakin hangat apabila tempoh 10 hari untuk menjelaskan ‘motivated decision’ yang diberikan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan tamat tepat 10.30 malam ini.

Berkemungkinan besar, perincian terkini atau lebih jelas dokumen lengkap dikemukakan akan disiarkan menerusi legal.fifa.com. dalam masa terdekat menurut kenyataan yang dikeluarkan, sebelum ini.

Peminat tempatan menantikan keputusan, mahupun kemas kini terbaru daripada badan induk dunia itu memandangkan skuad kebangsaan sedang bertanding dalam Kelayakan Piala Asia 2027.

Mengimbas kembali, Jawatankuasa Tatatertib FIFA telah mengenakan denda ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain.

Bintang warisan negara, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano, telah dikenakan penggantungan 12 bulan daripada Tatatertib FIFA 2a (kerana pelanggaran Tatatertib FIFA2) pemalsuan dokumen.

FAM dan ke semua pemain terlibat juga diarah membayar denda yang ditetapkan.

Status kelayakan pemain terbabit dirujuk kepada tribunal FIFA untuk pertimbangan lanjut.

FAM dalam satu kenyataan mengesahkan terdapat kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan kakitangan pentandbiran, dan dalam masa menunggu penghakiman penuh daripada FIFA.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) juga menanti keputusan penuh daripada FIFA.

Adakah ia akan melibatkan proses rayuan seterusnya?

Adakah langkah selepas ini membabitkan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS)?

Segala jenis impak, kesan mahupun implikasi masih belum diputuskan secara terang, meskipun terdapat perdebatan hangat di media sosial.

Seluruh penyokong Harimau Malaya berharap kemelut itu dapat diselesaikan dengan baik dan memihak kepada Malaysia.

Barisan kejurulatihan yang diketuai Peter Cklamovski bersama 29 pemain yang dipanggil telah pun berangkat terbang ke Laos bagi menghadapi aksi ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 9 dan 14 Oktober ini.