KUALA LUMPUR: Kelantan The Real Warriors (TRW) terus berdepan detik malang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) apabila tewas 0-3 kepada DPMM FC dalam aksi Liga Super, sebentar tadi.
Ia menjadi kekalahan kedua berturut-turut dialami skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli di ‘gelanggang tumpangan’ mereka itu susulan Stadium Sultan Muhammad IV tidak dapat digunakan sepanjang Ramadan.
TRW yang dikejutkan pasukan tercorot PDRM 1-0, Sabtu lalu kekal di kedudukan ke-10 dengan mengumpul 15 mata, manakala DPMM yang menghimpun 21 mata selepas 18 perlawanan naik ke tangga keenam.
Pada aksi sebentar tadi, DPMM berjaya membuka tirai jaringan menerusi ledakan penyerang, Jordan Murray ketika perlawanan memasuki minit ke-12 sebelum Syafiq Ahmad menambah jaringan kedua kelab Brunei itu, 11 minit kemudian.
Kelantan TRW cuba bangkit dengan persembahan lebih baik pada babak kedua, namun mereka tidak bernasib baik apabila rembatan deras Albert Kang dari luar kotak penalti pada minit ke-54 sekadar mengegar tiang gol.
Lebih malang buat TRW apabila DPMM berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-69 menerusi Jordan Rodrgues yang menyudahkan sepakan penjuru daripada Muhammad Hakeme Yazid Said.
Kelantan TRW mencipta beberapa peluang selepas itu tetapi gagal memecahkan kebuntuan jaringan, sekali gus mengalami kekalahan ke-11 dalam liga musim ini.