sukan

Nasib tujuh pemain warisan diketahui malam esok

Kuala Lumpur: Untung nasib tujuh pemain negara yang digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) serta imej Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal diketahui malam esok apabila keputusan rayuan akan dikeluarkan oleh badan induk dunia itu.

Mengikut kenyataan peguam sukan antarabangsa yang mewakili FAM, Serge Vittoz pada sidang media 17 Oktober lalu, rayuan FAM untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA dapat diketahui pada 30 Oktober ini iaitu malam esok.

Vittoz turut memaklumkan proses rayuan ini menjadi peluang penting bagi FAM mengemukakan hujah serta dokumen tambahan bagi mempertahankan kedudukan mereka di peringkat antarabangsa.

Sudah pastinya jutaan penyokong bola sepak negara ternanti-nantikan hasil keputusan rayuan berkenaan, yang kemungkinan boleh memihak FAM atau hukuman sebelum ini akan terus dikekalkan, ataupun situasi lebih buruk berisiko untuk dikenakan.

Bagaimanapun, seperti mana yang ditafsirkan oleh Tunku Mahkota Ismail pada sidang media khas Sabtu lalu mengakui kemungkinan hukuman berkenaan akan dikekalkan FIFA.

Namun katanya, tidak mustahil hukuman 12 bulan boleh dikurangkan menjadi tempoh lebih pendek bagi membolehkan tujuh pemain berkenaan kembali segera aktif beraksi.

Malah, baginda menegaskan bahawa FAM tidak boleh berhenti sekiranya keputusan rayuan nanti tidak memihak kepada badan induk itu, sebaliknya terus berjuang termasuk membawa kes berkenaan hingga ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).

Berdasarkan keputusan sebelum ini, FIFA menggantung pemain berkenaan selama 12 bulan dan denda CHF2,000 (RM10,560), manakala FAM pula dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).

Seandainya rayuan FAM itu tidak diterima FIFA, semua pihak juga harus bersedia untuk menerima hukuman susulan yang lain daripada kes berkenaan termasuk pemotongan mata buat skuad kebangsaan.