SEREMBAN: Bekas kapten Negeri Sembilan FC (NSFC), Nasrullah Hanif Johan berharap dapat dikekalkan dalam pasukan itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025-26 dalam menuju ke arah penghujung kariernya.
Pemain pertahanan berpengalaman berusia 34 tahun itu menjelaskan bahawa beliau belum puas untuk berbakti kepada pasukan negeri kelahirannya meskipun pernah mengecapi kejayaan khususnya ketika membantu pasukan menjulang kejuaraan Liga Perdana pada tahun 2021.
“Kalau ikutkan memang saya nak habiskan karier bola sepak di Negeri Sembilan seperti yang pernah saya suarakan sebaik meninggalkan pasukan Terengganu FC pada tahun 2021.
“Walaupun sudah empat musim bersama pasukan ini, saya rasa belum puas untuk memberikan sumbangan kerana impian untuk meraih pencapaian lebih baik dan tertinggi dalam Liga M belum tercapai.
“Setakat ini, saya tak boleh hendak sahkan sama ada kekal atau sebaliknya dalam pasukan untuk musim baharu nanti kerana sedang menunggu perkembangan daripada pihak pengurusan kelab,” kata Nasrullah.
Dia berharap peluangnya untuk terus berbakti kepada skuad Hobin Jang Hobin tidak berakhir selepas tamat kontrak pada 30 April lalu.
“Langkah pihak pengurusan untuk mengutamakan anak Negeri Sembilan beraksi dalam pasukan diharap dapat memberi saya peluang untuk bersama semusim lagi,” kata pemain itu yang memulakan kerjaya dalam Liga M bersama MP Muar FC pada tahun 2011.
sumber:- BH
Peranan Nasrullah dalam skuad Negeri Sembilan dilihat ketara bermula musim 2023 apabila menggalas tugas kapten pasukan dalam sebahagian besar perlawanan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.