sukan

Negeri Sembilan FC tekad ingin ‘tumbangkan’ Skuad Tok Gajah

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) berharap kekecewaan dialami dalam tiga aksi liga sebelum ini dapat diubati dengan meraih keputusan positif ketika turun menentang Sri Pahang FC (SFC) dalam pertembungan Liga Super, di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, esok.

Pemain pasukan itu bertekad untuk berjuang habis-habisan bagi mendapatkan kemenangan sekali gus memulihkan reputasi skuad Hobin Jang Hobin selepas kecundang dalam kesemua tiga aksi liga sebelum ini.

Kapten pasukan, Nasrullah Hanif Johan mengakui betapa dia dan rakan sepasukan perlu menggandakan usaha andai mahu memastikan kutipan tiga mata sekali gus kemenangan pertama musim ini dapat diraih di tempat lawan.

“Saya akui seluruh pasukan perlu berusaha dengan lebih baik lagi bagi mendapatkan tiga mata dalam pertembungan dengan Sri Pahang.

“Meskipun sedar tugas itu bukan mudah ketika Sri Pahang hampir pasti mahu menggunakan kelebihan untuk mendapatkan kemenangan, tapi kami tiada alasan kecuali turun habis-habisan.

“Kami perlu berusaha mendapatkan kemenangan untuk memulihkan semangat dan keyakinan pasukan walaupun beraksi di tempat lawan,” katanya.

Tonggak pertahanan berpengalaman itu tidak rela pasukannya pulang dengan tangan kosong selepas keputusan dicapai dalam tiga aksi liga sebelum ini menghampakan.

sumber:-BH

“Saya yakin dan percaya semua pemain sedar tugas dan tanggungjawab yang perlu dilakukan dalam usaha mengembirakan penyokong selain mengembalikan semula reputasi dan maruah pasukan,” katanya.