KUALA LUMPUR: Penjaga gol skuad bola sepak wanita kebangsaan, Nurul Azurin Mazlan, 25 bukan sahaja jadi benteng terakhir Malayan Tigress, malah turut menjadi mangsa kekasaran pemain Korea Utara, Kim Kyong Yong dalam aksi terakhir Kumpulan H, pada Sabtu lalu.
Insiden hangat yang berdurasi 11 saat itu tular di X, memaparkan detik Azurin yang sudah menangkap bola dengan kemas sebelum di siku dan ditumbuk oleh pencetak hatrik lawan itu.
Ketegangan di depan gawang berkenaan bagaimanapun berjaya diredakan hasil campur tangan kapten, Steffi Sarge Kaur sebelum pengadil tiba meleraikan kekecohan.
Terdahulu, Azurin mencuri perhatian apabila mempamerkan aksi luar biasa menafikan sepakan penalti pemain Palestin sehingga penyerang lawan, Sara Kord menjerit kecewa selepas dua percubaan gagal menembusi gawang Malaysia.
Aksi hebat Azurin yang juga penjaga gawang kelab Albania, KFF Vllaznia itu menepis sepakan penalti dengan sebelah tangan sebelum menggagalkan rembatan susulan menjadi detik sensasi yang turut dikongsi meluas di media sosial.
Namun itu bukan noktah buat penjaga gol berusia 25 tahun itu, dia kekal tenang dan berdisiplin sepanjang 90 minit perlawanan, memastikan kubu negara terus kebal hingga wisel penamat.
Sementara itu, Azurin sekali lagi menjadi wira apabila mempamerkan beberapa aksi menyelamat menakjubkan dalam kemenangan tipis 1-0 ke atas Tajikistan, sekali gus mengekalkan rekod tanpa bolos dalam dua aksi awal.
“Dari dulu Azurin memang penyelamat skuad wanita. Layak main liga luar sebab pandai baca permainan dan kedudukan, dia memang hebat,” itu antara komen netizen.
Ketangkasan dan ketenangan Azurin di bawah palang menyebabkan ramai peminat menggelarnya Spider-Woman skuad negara yang juga simbolik kepada peranannya sebagai benteng utama pasukan.
“Memang terbaik.. Penjaga gol skuad Wanita Malaysia adalah The Spider Woman,” kata seorang pengguna media sosial.
“Memang layak Azurin ni main liga luar negara padu. Apa pun, tahniah Malayan Tigress!” kata seorang lagi pengguna.
Namun impian untuk mara ke Piala Asia Wanita 2026 lebur selepas skuad bimbingan Joel Cornelli dibelasah Korea Utara 0-6 dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Republican Central, Dushanbe.
Tiga jaringan disumbangkan Kyong-yong, manakala Kim Hye-yong, Myong Yu-jong dan Ri Hye-gyong masing-masing menyumbang satu gol.
Perlawanan itu menjadi misi hidup mati buat skuad negara yang wajib menang ke atas pasukan ranking kesembilan dunia itu bagi melayakkan diri ke pusingan akhir kejohanan di Australia, namun impian itu tidak kesampaian.
sumber:- HM
Menariknya, Azurin yang berasal dari Sabah itu antara pemain tempatan terawal berjaya menembusi liga bola sepak wanita antarabangsa dan terus mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.