AL-AIN: Bintang Brazil, Neymar kembali beraksi selepas diketepikan lebih setahun apabila penyerang Al-Hilal itu turun sebagai pemain gantian pada perlawanan yang berakhir dengan kemenangan 5-4 ke atas juara Asia, Al-Ain di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Bekas penyerang Paris Saint Germain (PSG) itu tidak beraksi selepas mengalami kecederaan meniskus dan ligament anterior cruciate (ACL) di lutut kirinya pada aksi antarabangsa, Oktober tahun lalu.
Diletakkan di bangku simpanan Al-Hilal buat kali pertama selepas kecederaannya, dia diturunkan pada minit ke-76 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Hazzan Bin Zayed di Al-Ain.
Ketika itu, Al-Hilal yang juga juara Asia empat kali itu mendahului 5-3 menerusi jaringan Renan Lodi dan Sergej Milinkovic-Savic serta hatrik daripada Salem Al-Dawsari.
Neymar bagaimanapun tidak boleh didaftarkan untuk aksi Liga Pro Saudi sehingga Januari.
“Saya perlu menyiapkan Neymar untuk perlawanan ; hanya itu sahaja cara untuk memastikan dia kembali ke tahap sebenarnya,” kata jurulatih Al-Hilal, Jorge Jesus.
“Ada risiko untuk pasukan kerana kita perlu menggunakan perlawanan ini untuk menyiapkan dia, itu sahaja caranya untuk kita mengembalikan pemain penting kita ke tahap tertinggi.”
Pada aksi itu, Al-Hilal mendahului pada minit ke-26 menerusi jaringan Mitrovic namun Al-Ain yang dibimbing Hernan Crespo mengiat kedudukan enam minit sebelum babak pertama hasil jaringan Soufiane Rahimi.
Pada masa tambahan babak pertama, Milinkovic-Savic dan Al-Dawsari meledak dua gol untuk membolehkan mereka mendahului 3-1.
Al-Ain mengurangkan defisiti selepas sejam perlawanan menerusi Mateo Sanabria dan Al-Dawsari meledak gol keduanya sebelum Rahimi menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-67, hanya untk Al-Dawsari melengkapkan hatriknya pada minit ke-75.
Al-Hilal beraksi dengan 10 pemain apabila Ali Al-Bulaihi dilayangkan kad merah pada minit ke-82 kerana bola terkena tangan dan Rahimi menyempurnakan penalti untuk di hujung babak kedua untuk gol keempat Al-Ain.
sumber:-BH
Neymar tidak banyak memberi impak buat pasukan meskipun ada melakukan percubaan yang tersasar di penghujung perlawanan. – AFP