sukan

NFDP: MSN mengesahkan FAM terajui peranan teknikal pembangunan bola sepak negara

Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara rasmi mengambil alih peranan teknikal dalam pelaksanaan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Menerusi kenyataan, hari ini, MSN memaklumkan ia sebagai langkah strategik untuk memperkukuh ekosistem pembangunan bakat bola sepak negara secara lebih tersusun, bersepadu dan berimpak tinggi.

MSN menjelaskan pengambilalihan itu membabitkan aspek teknikal sepenuhnya, selaras dengan kepakaran serta mandat FAM sebagai badan induk bola sepak negara.

“Antara tanggungjawab utama yang digalas oleh FAM merangkumi latihan atlet, penyertaan kejohanan serta pengurusan kejurulatihan di semua peringkat pelaksanaan NFDP.

“Ia selaras dengan cadangan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang membuat penilaian terhadap program pembangunan itu hasil permintaan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Pada masa yang sama, MSN akan terus memainkan peranan penting dalam menguruskan aspek pengurusan dan sokongan atlet.

“Tanggungjawab MSN meliputi pentadbiran, pengurusan fasiliti dan kewangan, pengurusan pertandingan, kebajikan dan pendidikan atlet, pengurusan asrama dan pemakanan, perkhidmatan perubatan serta sains sukan, selain pelaksanaan program pembangunan atlet secara menyeluruh,” menurut kenyataan MSN.

Bagi memastikan tadbir urus NFDP terus telus dan berkesan, program itu dipantau melalui tiga jawatankuasa utama iaitu Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Teknikal.

Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan bertindak sebagai badan tertinggi dalam menetapkan hala tuju strategik NFDP dan Jawatankuasa Kerja dipengerusikan Ketua Pengarah MSN bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan dasar serta operasi program.

Sementara itu, Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM pula memantau dan menilai aspek teknikal pembangunan pemain serta kejurulatihan.

Selain itu, MSN menjelaskan pembahagian peranan yang jelas antara FAM dan MSN bertujuan memastikan NFDP dilaksanakan dengan lebih efektif dan profesional, sejajar dengan standard pembangunan bola sepak antarabangsa, di samping menjamin kebajikan serta perkembangan menyeluruh atlet muda negara.

“Menerusi struktur pengurusan yang lebih mantap dan tersusun ini, NFDP diyakini mampu melahirkan lebih ramai pemain berkualiti tinggi yang bukan sahaja cemerlang di peringkat kebangsaan, malah berdaya saing di pentas antarabangsa, sekali gus memperkukuh masa depan bola sepak Malaysia,” kata MSN.

FAM sebelum ini mengumumkan pelantikan bekas ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee sebagai Pengarah Teknikal NFDP yang baharu menggantikan Oscar Francisco Gonzalez, berkuat kuasa 1 Disember lalu.