Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee menjelaskan sasarannya untuk memacu pasukan bawah umur negara layak ke Piala Asia dan Piala Dunia pada masa akan datang.
Bekas pengendali Harimau Malaya itu dalam temu bual bersama FAM menjelaskan tugas pihaknya adalah memastikan program yang dilakukan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini diteruskan selain menambah baik apa yang perlu.
Beliau berkata, dari aspek falsafah atau perancangan seterusnya, pihaknya akan menilai setelah enam bulan pertama termasuk proses menambah baik sambil mengakui program berkenaan harus mempunyai DNA.
“Saya nampak banyak aspek yang perlu kami perbaiki, bukan sahaja pada aspek teknik, tetapi dalam bola sepak sekarang kita perlukan pemain yang mempunyai daya fikiran yang cukup baik.
“Keputusan dalam bola sepak ketika permainan adalah satu perkara yang paling penting. Selain daripada teknik yang bagus, kita harus mempunyai pemikiran yang pantas dan memilih untuk membuat keputusan dengan lebih cepat.
“Sudah tentu sasaran jangka pendek kami adalah untuk memastikan kita berada dalam landasan yang baik, terutama tidak mempunyai jurang terlampau besar di antara pasukan Asia Tenggara.
“Bagi jangka masa pendek juga, dalam setahun hingga tiga tahun ini, kita ingin layak ke Piala AFC (Asia) dan seterusnya, matlamat utama kita adalah untuk layak ke Piala Dunia bawah 17 (B-17) tahun pada masa akan datang. Ia memerlukan perancangan jangka pendek, pertengahan dan jangka panjang,” katanya.
MSN semalam mengesahkan FAM secara rasmi mengambil alih peranan teknikal dalam pelaksanaan NFDP sebagai langkah strategik untuk memperkukuh ekosistem pembangunan bakat bola sepak negara secara lebih tersusun, bersepadu dan berimpak tinggi.
FAM sebelum ini mengumumkan pelantikan Kim Swee sebagai Pengarah Teknikal NFDP yang baharu menggantikan Oscar Francisco Gonzalez, berkuat kuasa 1 Disember lalu.
Sementara itu, FAM dalam kenyataan menaruh keyakinan bahawa perubahan struktur pengurusan akan membolehkan NFDP melahirkan lebih ramai pemain berkualiti tinggi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Badan induk itu memaklumkan aspek pentadbiran dan sokongan atlet merangkumi pengurusan fasiliti, kewangan, pertandingan, kebajikan dan pendidikan atlet, pengurusan asrama dan pemakanan, perkhidmatan perubatan serta sains sukan akan terus diuruskan oleh MSN.
“Pembahagian peranan antara FAM dan MSN ini bertujuan memastikan pelaksanaan NFDP lebih efektif, profesional dan sejajar dengan standard pembangunan bola sepak antarabangsa.
“FAM yakin struktur pengurusan yang lebih mantap ini akan membolehkan NFDP melahirkan lebih ramai pemain berkualiti tinggi yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh masa depan bola sepak Malaysia,” kata FAM.