KUALA LUMPUR: Keletihan dan kecederaan tonggak utama dianggap menjadi antara faktor Negeri Sembilan terpaksa akur tewas 0-1 kepada Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.
Perkara itu diakui ketua jurulatih Negeri Sembilan, Nidzam Jamil yang mana pasukannya tidak dapat menggunakan khidmat pemain penting seperti Jovan Motika dalam perlawanan itu akibat masalah kecederaan.
Bekas pengendali Selangor itu berkata, situasi berkenaan menyukarkan pasukannya apatah lagi terpaksa berdepan Gergasi Merah yang memiliki ramai pemain berkualiti dan berkelebihan beraksi di laman sendiri.
“Pertama, saya ingin katakan keletihan. Kedua, jika anda lihat pada senarai pemain, kami cuba sedaya upaya, tetapi kami mempunyai (isu) kecederaan, Khuzaimi Piee dan Motika. Mujur Adli bersedia untuk menggantikan pada saat akhir.
“Kemudian, perlawanan terakhir menentang JDT pada pendapat saya sangat intensiti. Jika anda semak data, kebanyakan pemain berlari lebih daripada 11 hingga 12 kilometer, yang sememangnya sangat mencabar.
“Amat sukar untuk mengekalkan momentum yang sama (dengan aksi pusingan pertama). Kami cuba mencari penyelesaian, sudah tentu kami mahu bermain dengan corak yang sama, tetapi ia memang sukar,” katanya.
Negeri Sembilan yang berdepan prestasi tidak menentu berada di tangga keenam liga dengan menghimpun 17 mata selepas mengharungi 14 perlawanan musim ini.
Selain itu, Nidzam turut mengakui pasukannya perlu memperbaiki aspek ketika menghadapi situasi bola mati dengan jaringan tunggal Selangor dihasilkan Nooa Laine pada minit ke-61 berpunca dari sepakan sudut.
“Situasi bola mati kami kena (tangani dengan) bagus, kami perlu memperbaiki aspek itu. Kami perlu meningkat kerana ia menjadi perbezaan kepada keputusan malam ini,” katanya.