sukan

Nidzam puji kebangkitan luar biasa Negeri Sembilan

SEREMBAN: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC) Mohd Nizam Jamil memuji semangat juang dan disiplin tinggi dipamerkan pemain pasukan itu apabila berjaya menewaskan Selangor FC (SFC), 2-1, dalam aksi Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Pengendali berusia 45 tahun itu menjelaskan bahawa bukan mudah untuk menewaskan Selangor yang beraksi di dua pentas saingan tertinggi termasuk Piala Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan ia terserlah apabila anak buahnya terpaksa menunggu sehingga ke penghujung perlawanan untuk menembusi gawang lawan.

Menurutnya, sikap tidak putus asa pemain skuad Hobin Jang Hobin wajar dipuji apabila mereka terus bekerja keras untuk mendapatkan gol, ditambah pula dengan sokongan padu lebih 25,000 penyokong yang memenuhi stadium.

“Bukan mudah hendak bermain dengan Selangor yang turut beraksi di ACL2, tambahan pula pemain Negeri Sembilan baharu bersama dalam pasukan ini, jadi banyak lagi kelemahan yang ada dan perlu diperbaiki.

“Kemenangan malam ini (malam tadi) adalah komitmen tinggi semua pemain yang menunjukkan sikap tidak berputus asa selepas ketinggalan jaringan awal Selangor, terutama pemain senior seperti Takumi (Sasaki) dan Joseph Esso, yang memiliki kredibiliti.

“Ia ditambah pula dengan adanya kombinasi baik satu dua pemain yang mampu mengubah persembahan pasukan seperti Mio (Tsuneyasu), Muhammad Hadin Azman dan Zainal Abidin Jamil, yang membuatkan saya gembira dengan aksi malam ini,” kata Nidzam selepas perlawanan malam tadi.

Menurut Nidzam, Selangor memiliki ramai pemain berwibawa dan berpengalaman seperti Laine Nooa Hamzah, Faizal Halim dan situasi itu membuatkan pergerakan pemain Negeri Sembilan kadang kala sedikit terganggu hingga menyebabkan pihak lawan dapat melakukan serangan.

“Namun, dengan motivasi tinggi setiap pemain serta hasrat untuk mendapatkan kemenangan pertama dalam liga yang penting buat pasukan, mereka dapat cepat menutup ruang pihak lawan dan dalam masa menyusun rentak ke kubu Selangor,” katanya.

Beliau turut menafikan pengalamannya membimbing Selangor sebelum ini dan mengenali beberapa pemain pasukan terbabit bukan faktor yang kuat dalam membantu kepada kemenangan Negeri Sembilan semalam.

“Mungkin ada sedikit (membantu) tapi itu tidak memberi jaminan untuk mendapatkan tiga mata, sebaliknya tugas yang dilaksanakan dengan baik oleh pemain di dalam padang, adalah faktor utama kemenangan ini.

“Ini dapat dilihat apabila pada separuh masa pertama, Selangor dilihat lebih efektif tapi fasa berikutnya pemain kita dapat tunjukkan kematangan meningkatkan intensiti dan ia jelas memberi impak,” katanya.

Pada pertembungan malam tadi, Selangor terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Richmond Tetteh Ankrah pada minit ke-12 manakala pemain gantian Negeri Sembilan, Mio Tsuneyasu menjadi penyelamat melalui gol penyamaan dan kemenangan masing-masing pada minit ke-82 dan masa kecederaan.