KUALA LUMPUR: Pengendali Selangor FC (SFC), Nidzam Jamil jelas berbangga dengan prestasi ditunjukkan barisan pemainnya khususnya pemain muda yang berjaya memperagakan aksi cemerlang pada Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang Jeonbuk Hyundai Motors FC, malam tadi.
Menurunkan lima pemain berusia bawah 23 tahun (B-23) termasuk seorang pemain import dalam kesebelasan utama, skuad ‘The Red Giants’ mengejutkan pasukan di tangga ke-27 Asia itu dengan kemenangan 2-1 sekali gus menjadi pendahulu baharu Kumpulan H selepas tiga perlawanan.
Lebih membanggakan, pemain muda yang diberi tanggungjawab menggalas tugas sebagai kapten, Harith Haiqal Adam Afkar meledak gol pembukaan pada minit ke-31 sebelum Ali Olwan menambah gol kedua dua minit berselang.
Jeonbuk bagaimanapun berjaya mengurangkan defisit menerusi tandukan Kwong Chang Hoon pada minit ke-31 namun kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan untuk memberikan kemenangan kedua buat SFC dalam ACL2 kali ini.
“Saya gembira dengan pemain muda kita dan mereka ada pemain senior yang boleh diikuti ketika dalam sesi latihan. Banyak yang pemain muda kita pelajari daripada pemain senior seperti Olwan dan Noor (Al-Rawabdeh).
“Pada malam ini, kita cuba untuk dapatkan keputusan positif dan dalam masa sama, kita cuba mengembangkan lagi bakat pemain ini kerana kita sedar mereka ini adalah masa depan SFC.
“Apa yang saya harapkan adalah pemain dapat kekalkan konsistensi sebegini dalam setiap perlawanan,” kata Nidzam.
sumber:-BH
Selepas ini, mereka akan bertandang ke Stadium Piala Dunia Jeonju untuk berdepan lawan sama pada 7 November ini.