SEREMBAN: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Nidzam Jamil akui terkilan dengan kesilapan dan kelekaan dilakukan pemainnya selepas pasukan itu terikat seri dengan Terengganu FC, 1-1, dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, petang semalam.
Luahan itu dinyatakan pengendali terbabit selepas Negeri Sembilan terlepas tiga mata susulan jaringan pada lewat permainan oleh Terengganu ketika skuad Hobin Jang Hobin sudah mendahului perlawanan menerusi jaringan awal pada penghujung separuh masa pertama.
“Kita berhak mendapat kemenangan, tapi disebabkan sedikit kelekaan, kita terlepas tiga mata.
“Memang rasa terkilan, kegagalan ‘membunuh’ permainan ketika berpeluang melakukannya membuatkan kita terpaksa berpuas hati dengan satu mata.
“Pemain harus lebih peka dengan situasi dalam perlawanan dan perlu tahu bagaimana untuk mengekalkan kelebihan yang ada apa tah lagi ketika kemenangan itu sudah hampir berada dalam genggaman.
“Situasi seperti ini juga berlaku ketika mana kita beraksi di Pulau Pinang (bertemu Imigresen FC),” kata Nidzam kepada media selepas perlawanan.
Dalam perlawanan kesembilan liga bagi kedua-dua pasukan itu, Negeri Sembilan terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Luqman Hakim Shamsudin pada masa tambahan separuh masa pertama disusuli gol penyamaan Terengganu dijaringkan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili pada minit ke-90.
Nidzam bagaimanapun berkata, bukan suatu yang mudah bagi anak buahnya untuk menguasai permainan dengan baik dan menjaringkan gol walaupun Terengganu kehilangan seorang pemain selepas Kyaw Min Oo dilayangkan kad merah oleh pengadil pada minit ke-15 perlawanan.
“Selalunya, 10 lawan 11 adalah yang paling susah kerana pasukan yang bermain 10 orang akan memberikan lebih banyak fokus. Ini adalah kelebihan yang ditunjukkan pasukan lawan,” katanya.