sukan

Nilai pasaran terkini Garces jatuh mendadak

NILAI pasaran pertahanan Harimau Malaya, Facundo Garces, dilaporkan merosot secara mendadak berdasarkan semakan di portal bola sepak antarabangsa, transfermarkt.com.

Pemain kelahiran Argentina itu kini hanya bernilai €1 juta (RM4.94 juta) berbanding €2 juta (RM9.88 juta) sebelum ini.

Penurunan itu dipercayai ada kaitan dengan hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kepada dirinya dan enam lagi pemain warisan skuad Harimau Malaya.

Situasi tersebut dilihat memberi kesan langsung terhadap nilai pasaran Garces yang kini beraksi bersama kelab La Liga, Deportivo Alaves di peringkat antarabangsa.

Malah, pemain berusia 26 tahun itu juga ketika ini digantung sementara oleh Alaves sehingga kes tersebut selesai.

Selain Garces, enam lagi pemain warisan yang digantung ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.

Namun, nilai pasaran enam lagi pemain itu tidak berubah dan masih kekal sama.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM bersama tujuh pemain warisan tersebut dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung isu pemalsuan dokumen.

FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain terbabit didenda CHF2,000 (sekitar RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Ketika ini, FAM sedang menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman sebelum mengemukakan rayuan.