Tindakan penyerang kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin menyertai Negeri Sembilan FC musim ini dianggap sebagai langkah tepat apabila sahamnya meningkat lebih sekali ganda.
Berdasarkan laman transfermarkt.com, nilai pasaran Luqman kini mencecah 125,000 Euro (kira-kira RM596,000), meningkat berbanding RM238,000 ketika bersama kelab Jepun, YSCC Yokohama sebelum ini.
Nilai pasaran tertinggi yang pernah diletakkan laman antarabangsa itu terhadap Luqman adalah RM715,000 sekitar tahun 2020 hingga 2021 yang mana ketika itu dia bersama KV Kortrijk.
Membuat keputusan untuk kembali ke tanah air dan bersama Negeri Sembilan, penyerang berusia 23 tahun itu termasuk antara bintang tempatan yang menjadi tumpuan dalam Liga Malaysia (Liga M) ketika ini.
Detik terbaik dikecapi Luqman bersama Negeri Sembilan adalah ketika dia meledak dua gol untuk membantu skuad itu menewaskan Kelantan The Real Warriors 2-0 dalam aksi Liga Super, 24 Disember lalu.
Luqman sebelum ini dicanang sebagai bakat masa depan bola sepak negara dengan dia berhijrah ke Belgium untuk bersama KV Kortrijk sebelum menyertai Njarovik dan YSCC Yokohama secara pinjaman.
Dia bagaimanapun bergelut untuk menonjolkan dirinya sebelum membuat keputusan untuk kembali ke tanah air dan menyertai skuad kendalian Nidzam Jamil, musim ini.