sukan

Nilai terkini Harimau Malaya terus melonjak

KUALA LUMPUR: Nilai pasaran keseluruhan bagi pemain skuad Harimau Malaya meningkat mendadak susulan kemasukan beberapa pemain warisan baharu.

Berdasarkan laman antarabangsa transfermarkt.com, nilai pasaran Harimau Malaya ketika ini adalah RM57.8 juta yang mana membabitkan 22 pemain yang disenaraikan laman itu.

Pemain warisan baharu, Imanol Machuca yang beraksi bersama kelab Velez Sarsfield muncul sebagai bintang termahal Harimau Malaya apabila memegang tanda harga RM12.3 juta.

Penyerang, Joao Figueiredo dan pemain pertahanan, Facundo Garces muncul pemain kedua termahal dalam skuad Harimau Malaya apabila berkongsi nilai pasaran RM9.85 juta.

Dua lagi pemain warisan, Dion Cools yang baru menyertai kelab Jepun, Cerezo Osaka dan penyerang kelab America de Cali, Rodrigo Holgado turut berada dalam kelompok lima teratas pemain termahal Harimau Malaya dengan masing-masing memiliki nilai pasaran RM4.9 juta dan RM3.9 juta.

Bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi berada di kedudukan kelima dengan nilai pasaran RM3.2 juta, sekali gus muncul sebagai pemain tempatan termahal.

Jon Irazabal yang sebelum ini memiliki tanda harga sama dengan Arif Aiman, kini berada di bawah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M) itu apabila nilai pasarannya menurun kepada RM2.95 juta.

Nilai pasaran terbaru Irazabal berdasarkan kemaskini laman berkenaan pada 9 Jun lalu, iaitu sehari sebelum tonggak pertahanan berusia 29 tahun itu membuat penampilan pertama bersama Harimau Malaya ketika menentang Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Tanda harga Hector Hevel yang baru dikemaskini laman berkenaan, kelmarin juga mengalami penurunan dengan pemain tengah itu ketika ini memiliki nilai pasaran RM1.97 juta berbanding RM2.2 juta pada Disember tahun lalu.

Mac lalu, BH Sukan melaporkan skuad Malaysia bernilai lebih RM34 juta merangkumi tanda harga 27 pemain yang dipanggil ketua jurulatih, Peter Cklamovski bagi menghadapi aksi pertama Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim.

Skuad termahal kekal milik Indonesia yang memiliki nilai pasaran keseluruhan pemainnya RM171.7 juta membabitkan 23 pemain, namun jumlah itu menurun berbanding RM177 juta pada Mac lalu.

Indonesia yang turut dibarisi ramai pemain warisan jauh meninggalkan pesaing negara Asia Tenggara lain termasuk Malaysia, Thailand (RM36.5 juta), Vietnam (RM29 juta) dan Filipina (RM24 juta).

Pemain Termahal Harimau Malaya

1. Imanol Machuca: RM12.3 juta

2. Joao Figueiredo, Facundo Garces: RM9.85 juta

3. Dion Cools: RM4.9 juta

4. Rodrigo Holgado: RM3.9 juta

5. Arif Aiman Hanapi: RM3.2 juta

6. Jon Irazabal: RM2.95 juta

7. Hector Hevel: RM2.2 juta

sumber:- BH