sukan

Nova dedah punca Tang Jie-Ee Wei tak sertai Terbuka Jerman

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto, berharap tempoh persiapan yang lebih panjang mampu memberi kelebihan kepada pasangan utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, dalam misi memburu keputusan terbaik di Seluruh England, bulan depan.

Nova berkata pasangan nombor empat dunia itu tidak akan menyertai Terbuka Jerman (Super 300) dari 24 Februari hingga 1 Mac, sebaliknya kekal menjalani latihan di tanah air sebelum berlepas ke Birmingham bagi menghadapi Seluruh England dari 3 hingga 8 Mac.

Menurutnya, meskipun aksi di Jerman boleh dijadikan medan pemanas badan, jadual yang terlalu rapat menjadi pertimbangan utama untuk tidak menyertai kejohanan berkenaan.

“Kita sudah bincang dengan pemain dan putuskan untuk fokus kepada Seluruh England sahaja. Kalau pergi Jerman, walaupun juara sekali pun, kita akan bergerak Ahad malam atau Isnin pagi dan tempohnya terlalu singkat.

“Jadi kita rasa lebih baik beri fokus terus kepada Seluruh England dengan persiapan lebih rapi,” katanya.

Tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei yang turun selaku pilihan kedua tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Rehan Kusharjanto-Gloria Widjaja.

Nova berharap anak buahnya dapat melangkah lebih jauh kali ini sambil mengingatkan kepentingan fokus dalam setiap perlawanan.

“Dalam kejohanan besar macam ini, lepas perlawanan sukar pun bila jumpa lawan yang ranking lebih rendah, kita tetap kena fokus. Kalau leka sedikit, boleh kalah,” katanya.

Selepas mengharungi tiga kejohanan musim ini, Tang Jie-Ee Wei sudah merangkul satu gelaran dengan menjuarai Masters Indonesia, bulan lalu.