ALOR SETAR: Tindakan Negeri Sembilan FC (NSFC) menukar jurulatih ternyata memberi nafas baharu kepada pasukan itu apabila berjaya mengikat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-2 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, hari ini.
Selepas tiga kali berturut-turut keciciran mata, akhirnya skuad Jang yang dibimbing oleh ketua jurulatih baharunya, K Nanthakumar kembali bangkit dengan membawa pulang satu mata.
Pada aksi yang bermula jam 5.30 petang di hadapan 1,646 penyokong, Kedah ternyata menguasai babak pertama tetapi gagal menyudahkan beberapa peluang terhidang.
Sebaliknya, anak buah Nafuzi Zain dikejutkan apabila pelawat mendahului menerusi Jaque Faye menerusi tandukan cantik oleh pemain tinggi lampai itu hasil sepakan sudut Takumi Sasaki sebelum rehat.
Bersambung babak kedua, Kedah melakukan pertukaran drastik dengan mengeluarkan penyerang utama Milos Gordic dan menggantikan pemain lincah Fayadh Zulkifli bagi menguatkan lagi jentera serangan.
Kedah yang terus mengasak kubu pelawat melalui beberapa percubaan akhirnya berjaya memecah kebuntuan hasil rembatan kencang i kapten pasukan Sony Norde sekali gus menewaskan penjaga gawang Muhamad Aqil Abdul Razak pada minit ke-52.
Gol penyamaan yang diperoleh itu nyata menyemarakkan semangat skuad Kenari yang kemudian berjaya mendahului menerusi tandukan pemain bek tengah Jose Cleylton yang menerima hantaran Sony Norde.
sumber:-BH
Di sebalik serangan bertubi-tubi oleh Kedah, NSFC cuba bangkit dengan serangan balas dan berjaya sekali lagi menambah gol untuk menyamakan kedudukan, sekali lagi menerusi Jacque Faye pada minit ke-78 yang mendapat hantaran cantik daripada Hein Htet Aun.