SEREMBAN: Kapten Negeri Sembilan FC (NSFC) Ahmad Khuzaimi Piee menyifatkan persiapan pasukan itu menjelang aksi pertama Liga Super menentang juara 11 kali, Johor Darul Ta[zim (JDT), berada dalam baik dan mereka sudah bersedia untuk turun beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.
Tonggak pertahanan berpengalaman yang mesra dipanggil Jimmy itu berkata, pasukannya telah melalui tempoh pramusim yang memberangsangkan apabila berjaya mencatatkan keputusan positif dalam beberapa aksi persahabatan dijalankan.
Menurutnya, meskipun keputusan pramusim bukan suatu jaminan apa lagi berdepan JDT di gelanggang lawan, namun dia berharap momentum baik dalam pasukan itu mampu memberi impak positif kepada persembahan mereka.
“Dari segi persiapan kita untuk memulakan cabaran dalam Liga Super bagi menentang JDT malam esok, dalam keadaan yang baik dan berjalan lancar.
“Semua pemain menunjukkan keyakinan diri dan semangat yang tinggi selepas melalui tempoh latihan yang intensif serta dapat memahami setiap perancangan dan taktikal pasukan yang diketengahkan ketua jurulatih Nidzam Jamil.
“Kami akan turun di Johor dengan berbekalkan keyakinan dan semangat baharu. Secara peribadi saya berharap rakan-rakan dapat mengekalkan momentum baik ini sepanjang perlawanan nanti agar satu keputusan positif dapat kita capai dari gelanggang lawan itu,” kata Khuzaimi, hari ini.
Bekas pemain skuad Harimau Malaya berusia 31 tahun itu sedar perlunya dia dan rakan sepasukan yang bakal dipilih menggalas tanggungjawab sepanjang pertembungan itu untuk memperagakan aksi terbaik tatkala skuad Harimau Selatan yang dilihat tampil dengan persembahan penuh bergaya menewaskan Selangor FC, 3-0, bagi menjulang Piala Sumbangsih, Jumaat lalu.
“Kami sedar kekuatan dan kelebihan yang dimiliki JDT sebagai sebuah pasukan terbaik di Asia. Untuk itu kami perlu tampil dengan persembahan terbaik dan semangat sepasukan yang mantap dengan memberikan sepenuh kekuatan bagi mengimbangi kelebihan pihak lawan.
“Paling penting dalam kalangan kami yang dipilih nanti perlu menggalas tugas dengan komitmen tinggi kerana ia perlawanan yang berintensiti tinggi dan perlu berusaha menterjemahkan setiap perancangan jurulatih dengan baik.
“Insya-Allah, saya dan rakan-rakan akan berusaha sebaik mungkin bagi menterjemahkan pembaharuan dalam pasukan dan melalui doa penyokong, kita berharap mampu membawa balik keputusan yang positif,” kata pemain berpengalaman kelahiran Melaka ini.