SEREMBAN: “Masih ada 90 minit perlawanan lagi untuk kita berusaha mendapatkan keputusan yang baik dan melangkah ke peringkat seterusnya,” kata ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K Nanthakumar.
Skuad Hobin Jang Hobin bakal membuat perhitungan terakhir dengan Terengganu FC (TFC) dalam pertembungan suku akhir kedua Piala Malaysia, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak Kuala Terengganu, malam esok.
Selepas tewas 2-0, pada suku akhir pertama Piala Malaysia di laman sendiri, 14 Disember lalu, pemain Negeri Sembilan perlu bangkit memadam kelebihan Terengganu jika mereka mahu menempah tiket ke peringkat separuh akhir musim ini.
Jelas Nanthakumar, beliau akan merangka strategi terbaik dan membuat beberapa perubahan dalam memastikan skuad bimbingannya mampu memberikan persembahan lebih baik serta berupaya menjaringkan gol.
“Kita tahu beraksi di tempat lawan bukan suatu tugas mudah dan kelebihan sudah pasti kepada pasukan lawan, apa lagi selepas Terengganu memiliki kelebihan dua gol.
“Untuk itu, saya akan cuba ubah corak persembahan pasukan di sana dalam memastikan setiap komponen dapat berfungsi di tahap maksimum dan setiap pemain dapat melaksanakan tugas dengan lebih efektif dalam usaha menjana kemenangan.
“Apa yang lebih penting saya harapkan ialah pemain terutama di bahagian serangan dapat mencipta peluang jaringan dan seterusnya mampu menembusi gawang gol Terengganu,” katanya hari ini.
sumber:-BH
Pengendali kelahiran Perak berusia 47 tahun itu juga berharap keadaan cuaca baik dan tidak hujan di Gong Badak agar ia tidak menganggu serta merencatkan perancangannya dalam misi melakar kemenangan.