sukan

NSFC umum jentera tengah baharu dari Ghana

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) mendapat tenaga baharu di bahagian tengah apabila pemain import dari Ghana, Alex Agyarkwa diumumkan sebagai anggota terbaharu pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) yang bakal membuka tirainya, 8 Ogos ini.

Agyarkwa yang berusia 24 tahun beraksi bersama Selangor FC musim lalu dan kini bersama Negeri Sembilan sebagai pemain pinjaman sekali gus kembali bekerjasama dengan ketua jurulatih, Nidzam Jamil, yang pernah membimbing pasukan Red Giants sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus memaklumkan ketibaan Agyarkwa ke Negeri Sembilan adalah secara pinjaman dari Selangor FC selama satu musim.

“Agyarkwa cukup mengenali Nidzam. Ini kerana beliau mengenali jurulatih berusia 45 tahun itu semasa bersama Merah Kuning sebagai penolong jurulatih dan jurulatih.

“Pinjaman ini diyakini bakal memberi impak positif kerana kehadiran Agyarkwa ke dalam pasukan akan dipertaruhkan bagi memperkuat jentera tengah bagi menghadapi saingan musim ini,” katanya di sini, hari ini.

Agyarkwa menjadi pemain kelima Selangor yang memilih berkelana ke Negeri Sembilan selepas Ahmad Khuzaimi Piee, Syahmi Adib, Azrin Afiq dan Haiqal Haqeemi.

Pemain bertubuh sasa itu juga menjadi pemain import terbaharu ketiga dan kelima secara keseluruhan bagi skuad Hobin Jang Hobin musim ini, selepas Jovan Motika dan Mio Tsuneyasu selain pemain musim lalu yang dikekalkan iaitu Takumi Sasaki dan An Sang Su.

Terdahulu, Agyarkwa dikatakan telah memberi bayangan bakal meninggalkan Selangor FC selepas kedudukannya dengan pasukan itu menjadi persoalan ramai peminat apabila timbul khabar angin khidmat beliau tiada dalam pelan ketua jurulatih, Katsuhito Kinoshi.

sumber:- HM

Untuk rekod, Agyarkwa sertai Selangor FC bermula pada tahun 2021 dan merekodkan 64 penampilan selain melakukan 11 bantuan jaringan meskipun pada musim lalu dia bergelut dengan kecederaan.