Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, bertekad memberikan persembahan terbaiknya apabila turun beraksi dalam Kejohanan Dunia Trek 2025 yang bakal membuka tirai esok malam.
Pelumba berusia 21 tahun dari Baling, Kedah itu menjadi wakil tunggal Malaysia dalam kategori wanita, namun enggan menjadikannya alasan untuk tidak menyerlah di pentas berprestij dunia.
Bagi Nurul Izzah, ketiadaan rakan sepasukan lain tidak menjejaskan fokusnya kerana pengalaman lalu sudah mematangkan dirinya.
“Sudah tentu saya rasa sunyi sebab selama ni kami selalu berlatih ramai-ramai, tiba-tiba kali ini saya kena pergi seorang diri.
“Tapi saya dah biasa sebab sebelum ni masa Olimpik, saya pun satu-satunya pelumba perempuan. Jadi perasaan tu sama saja, dah boleh adapt dengan suasana macam ni,” katanya.
Nurul Izzah berkata, kehadirannya kali ini bukan sekadar untuk menimba pengalaman, sebaliknya mahu memperbaiki catatan masa dan kedudukan ranking dunia.
“Saya datang bukan untuk cukupkan syarat, tapi nak buktikan kemampuan diri selain mahu memastikan kejayaan berpihak kepada Malaysia.
“Saya akan cuba lawan dengan semua pelumba lain sebab ramai muka baharu yang baru naik daripada kategori remaja dunia. Jadi, saya kena sentiasa bersedia dan berani mencuba,” katanya.
Menurutnya, sasaran peribadi ialah mara ke pusingan akhir acara Keirin, seperti yang diharapkan jurulatih, selain memperbaiki catatan masa dalam acara Sprint 200 meter.
“Kalau boleh saya nak sampai ke final, itu pun dah cukup besar untuk saya. Tapi kalau dapat lebih daripada itu, Alhamdulillah.
“Saya akan terus berusaha dan fokus untuk tingkatkan apa yang masih boleh diperbaiki dari segi teknik dan kelajuan,” katanya.
Mengulas prestasi semasa, Nurul Izzah mengakui catatan masanya kini semakin baik dan stabil berbanding awal musim.
“Catatan masa saya makin bagus sekarang dan saya harap boleh kekalkan rentak ni di Kejohanan Dunia nanti. Dari segi fizikal pun saya okey, cuma dua bulan lepas ada turun naik sikit tapi semuanya dah kembali normal,” katanya.
Antara cabaran utama yang bakal dihadapi ialah pelumba ternama dunia seperti Emma Hinze dari Jerman dan Mina Sato dari Jepun, selain beberapa pelumba muda lain yang kini mencatat masa hampir setanding.
“Persaingan memang sengit sebab ramai pelumba dah capai tahap tinggi. Tapi saya nak cuba lawan dengan mereka dan perbaiki kedudukan saya.
“Kalau boleh saya nak bawa pulang sesuatu yang boleh dibanggakan, bukan saja untuk diri sendiri tapi untuk Malaysia,” katanya yang kini menghuni ranking ke-20 dunia (pecut) dan top 10 (keirin).