KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bersedia untuk berdepan dengan sesiapa sahaja termasuk pasangan pilihan utama menjelang undian peringkat kumpulan Sukan Olimpik Paris 2024 pada 12 Julai ini.
Berdasarkan ranking dunia semasa, Aaron-Wooi Yik yang menghuni tangga kelima dunia tidak akan mendapat kedudukan selaku pilihan sekali gus akan bertemu dengan mana-mana pasangan.
Hanya empat pasangan teratas ranking dunia akan diletakkan selaku pilihan yang menyaksikan mereka akan dipecahkan dalam empat kumpulan.
Beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang ketika ini di kedudukan nombor satu dunia diikuti Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark) kedua, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty (India) ketiga dan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae (Korea Selatan) keempat.
Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen, berkata biarpun tidak diletakkan selaku pilihan ia tidak banyak bezanya kerana pasangan yang layak ke Olimpik kali ini terutama dalam kelompok lapan terbaik mempunyai kekuatan tersendiri.
“Untuk Olimpik kali ini, kami tidak fikir untuk elak sesiapa pun. Saya tidak rasa pasangan pilihan pertama pun akan rasa senang untuk menang dengan pasangan yang bukan pilihan.
“Apa yang paling penting adalah fokus dalam setiap perlawanan. Siapa datang kita lawan.
“Selagi kita tahu cara untuk bermain dan cukup tenang bagi mengatasi cabaran pihak lawan, ia pasti akan membantu,” kata Bin Shen ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.
Bin Shen turut menyuarakan keyakinan tiada apa yang mustahil buat Aaron-Wooi Yik untuk menjelmakan kilauan pingat emas di Paris.
Katanya, tahap permainan antara semua pasangan yang akan beraksi dilihat lebih kurang sama tetapi Aaron-Wooi Yik perlu memastikan mereka kekal berada dalam keadaan bebas kecederaan serta mempunyai minda tenang untuk fokus aksi dalam gelanggang.
sumber:-BH
Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik menyumbang pingat gangsa kepada kontinjen negara di Olimpik Tokyo 2020 dan kali ini diletakkan sebagai antara sandaran utama bagi memenangi emas di Paris.