sukan

ONE Championship : Jojo yakin mampu tumbangkan Diego Paez

Kekalahan tipis dalam pertemuan pertama tidak sedikit pun melunturkan keyakinan Johan Ghazali menjelang aksi ulangan menentang Diego Paez di Bangkok, Jumaat ini.

Petarung berusia 19 tahun itu bakal berdepan wakil Colombia-Amerika Syarikat berkenaan dalam pertarungan Muay Thai kategori flyweight pada acara The Inner Circle 35 di Stadium Lumpinee, dengan misi membalas dendam kekalahan, Jun tahun lalu.

Pertemuan itu berlangsung sengit tiga pusingan sebelum Paez diberikan kemenangan, sekali gus mencatat kemenangan pertamanya dalam ONE Championship.

Namun, Johan yang lebih dikenali Jojo masih percaya beliau mempunyai kelebihan dalam pertarungan ulangan nanti.

“Jika diteliti pertarungan sebelum ini, tiada satu pun serangannya benar-benar mengenai sasaran.

“Saya hanya ingat satu tendangan pusing ke belakang yang mengena, tetapi saya terus membalas dengan serangan.

“Saya tahu perkara yang perlu diperbaiki dan sejujurnya, saya tidak pernah lebih yakin daripada sekarang,” katanya kepada laman sesawang rasmi ONE Championship.

Keyakinan itu hadir selepas Jojo bangkit daripada kekalahan kepada Paez dengan mencatat dua kemenangan berturut-turut ke atas Zakaria El Jamari dan Ye Yint Naung.