Kekangan pendaftaran pemain akibat sekatan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memaksa Kelantan Red Warriors (KRW) mengambil langkah luar biasa apabila terpaksa memanggil semula lapan hingga sembilan pemain yang sebelum ini sudah digugurkan.
Situasi itu didedahkan ketua jurulatih KRW, Irfan Bakti Abu Salim, selepas pasukannya tersingkir daripada saingan Piala FA susulan kekalahan 5-1 kepada Kuching City pada aksi kedua, sekali gus tewas dengan agregat 1-5.
Menurut Irfan, KRW ketika ini hanya mempunyai antara 16 hingga 18 pemain untuk digunakan dan keadaan itu menyebabkan beliau tidak mempunyai banyak pilihan dalam membentuk barisan pasukan bagi menghadapi baki saingan musim ini.
“Bukan tumpu kepada liga. Ini saja pemain kami yang ada, 16 hingga 18 pemain. Sebenarnya lapan hingga sembilan pemain sudah digugurkan, tetapi disebabkan situasi sekatan FIFA itu, saya terpaksa panggil balik pemain pemain tersebut.
“Itu yang pertama. Yang keduanya, saya sangat mengharapkan pihak FAM membuat sesuatu kerana sebagai badan induk, hanya mereka saja yang boleh membantu kami,” katanya.
Irfan berkata, situasi yang berlaku bukan berpunca daripada pemain dan pasukan ketika ini sebaliknya mereka terpaksa menanggung kesan daripada masalah yang berlaku sebelum ini.
“Ini bukan hutang kami, bukan masalah kami sebenarnya. Masalah zaman jahiliyah lagi. Kami terpaksa tanggung benda ini. Jadi, tolong buat sesuatu,” katanya.
Dalam pada itu, Irfan tetap berpuas hati dengan karakter yang dipamerkan pemain tempatan walaupun KRW gagal mengatasi Kuching City dalam aksi berkenaan.
Beliau mengakui perbezaan pengalaman antara kedua-dua pasukan jelas kelihatan, terutama apabila barisan pemainnya berdepan pemain asing Kuching City yang mempunyai pengalaman beraksi di Liga Super.
“Saya tak nak beri apa apa alasan. Cuma nak beritahu pemain pemain saya, pemain tempatan sudah memberikan segala kudrat yang mereka ada. Itu saja kemampuan yang mereka ada.
“Walaupun kami kalah 1-5, saya berpuas hati dengan persembahan mereka. Dengan pengalaman dan pemain asing Kuching City, memang sukar untuk pemain saya mengatasi mereka,” katanya.
Sebelum itu, Kuching City FC melangkah ke suku akhir Piala FA dengan bergaya apabila menewaskan KRW FC 5-1 dalam aksi kedua pusingan 16 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam tadi.
Selepas terikat tanpa jaringan pada aksi pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, 1 September lalu, skuad The Cats tampil lebih garang untuk mendahului menerusi Wenzel Halls Dylan pada minit kesembilan sebelum Safawi Rasid menggandakan kelebihan 11 minit kemudian.
Ronald Ngah Wanja kemudian melebarkan jurang pada minit ke-53 sebelum KRW meraih gol menerusi Mazwan Che Mat pada minit ke-67.
Namun, Wanja melengkapkan gol keduanya menerusi sepakan penalti pada minit ke-71 sebelum Kaishu Yamazaki menanduk masuk gol kelima Kuching City pada minit ke-80, sekali gus memastikan kemenangan 5-1.