sukan

PAFA mungkin terima nasib seperti KAFA

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) berkemungkinan menerima nasib sama seperti Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) selepas berpotensi digantung keahlian oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bekas Naib Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad menggesa FAM untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada persatuan itu selepas mereka turut berdepan isu sama seperti KAFA yang menyebabkan keahlian digantung dan perlu mengadakan pemilihan semula.

“Keahlian KAFA digantung kerana dua ahli gabungan mereka tidak dijemput untuk kongres pemilihan mereka.

“Jadi hukuman sama perlu dikenakan kepada PAFA,” kata Yadzan.

Dalam masa sama, Yadzan turut menyatakan bantahan sama dilakukan Persatuan Bolasepak Kuala Kangsar (KKFA) yang didakwa diketepikan pada kongres PAFA meskipun membayar yuran dan melengkapkan pendaftaran.

“KKFA mengemukakan surat bantahan rasmi. Jika FAM boleh bertindak ke atas KAFA, kenapa tidak ke atas PAFA?

“Penggantungan keahlian PAFA selepas mesyuarat mereka yang seterusnya akan menjamin keadilan dan keharmonian.

“Jika FAM patuh pada statut dan peraturan, sudah tentu tidak akan ada ruang untuk pilih kasih ataupun agenda tersembunyi.

“Kes PAFA sama seperti KAFA jadi konsistensi untuk mengenakan hukuman adalah sangat penting,” katanya.

sumber:-BH

Sebagai rekod, jika keahlian PAFA digantung, ini menyaksikan hanya tinggal 17 ahli gabungan yang terbabit bagi Kongres Pemilihan FAM, bulan depan.