KUALA LUMPUR: Barisan kejurulatihan dan pasukan sokongan kebangsaan akan membantu beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengatasi tekanan psikologi yang menghantui mereka setiap kali beraksi di Seluruh England.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky, berkata pasangan itu perlu segera keluar daripada ‘mimpi ngeri’ berkenaan yang dilihat menjejaskan corak permainan mereka pada kejohanan berprestij itu.
Juara dunia berkenaan tersingkir seawal pusingan pertama minggu lalu selepas tewas 21-18, 12-21, 23-25 kepada gandingan Denmark, Rasmus Espersen-Amalie Cecilie Kudsk.
Rexy mengakui walaupun persiapan rapi dilakukan sebelum kejohanan, Tang Jie-Ee Wei masih membawa beban psikologi susulan beberapa kegagalan mereka pada edisi sebelum ini.
“Bagi beregu campuran, kita dapat lihat Tang Jie-Ee Wei masih dibayangi pengalaman kurang baik setiap kali beraksi di Seluruh England sehingga menjejaskan pemikiran mereka di gelanggang.
“Jadi perkara ini perlu kita atasi supaya mereka dapat tampil dengan keyakinan dan permainan yang lebih baik,” katanya kepada BH Sukan.
Sejak digandingkan dan membuat penampilan sulung di kejohanan badminton tertua dunia itu pada 2023, Tang Jie-Ee Wei masih belum berjaya melepasi pusingan awal.
Pencapaian terbaik mereka setakat ini adalah mara ke pusingan kedua pada edisi 2024.
Sebagai rekod, pasangan yang kini menghuni ranking keempat dunia itu sudah meraih satu gelaran musim ini selepas menjuarai Masters Indonesia pada Januari lalu.