ISKANDAR PUTERI: Ulsan HD FC sedia memberikan tentangan sengit terhadap Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila kedua-dua pasukan itu bertembung pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.
Pengendali Ulsan HD FC, Kim Pan Gon tampak tidak berada dalam tekanan namun tetap mengakui tugas rumit menanti walaupun skuadnya baru sahaja dinobatkan juara Liga K1 Korea (Liga K1) dan mengimpikan kemenangan pertama dalam saingan ACLE selepas tumpas tiga perlawanan terdahulu.
“Amat teruja untuk berdepan JDT yang juga sebuah pasukan terbaik di Asia Tenggara, dan ketika ini kami tidak berada dalam keadaan memuaskan selepas gagal meraih sebarang mata pada saingan ACLE namun itu bukan alasan untuk kami mudah untuk ditewaskan.
“Tidak dinafikan JDT berada di tahap permainan membanggakan dalam tiga perlawanan lalu dan mereka berada di dalam kelompok lapan pasukan terbaik berbanding kami yang di tangga terbawah kumpulan Zon Timur.
“Apapun, kami perlu bersedia untuk berdepan JDT di laman mereka sendiri kerana pasukan itu tampak hebat apabila beraksi di depan penyokong mereka malah mana-mana pasukan yang beraksi di Stadium Sultan Ibrahim bakal tempuh kesukaran untuk buru kemenangan,” katanya pada sidang media pra perlawanan.
Bekas pengendali Harimau Malaya itu juga enggan mengimbas rekod pertembungan kelab dari Korea Selatan itu dengan JDT yang tampak kurang baik selepas sepanjang empat perlawanan, JDT menewaskan pasukan itu tiga kali.
Sementara itu, penyerang Ulsan HD FC, Kim Min Jun mahu mempamerkan aksi terbaik apabila berdepan skuad kendalian Hector Bidoglio dan percaya mampu mencipta kejutan ke atas JDT bagi memburu kemenangan pertama dalam saingan ACLE.
sumber:-BH
“Jika dilihat kepada corak permainan JDT, falsafah taktikal permainan mereka lebih terarah bermain secara menyerang dan memberi tekanan selain mengawal permainan terutama di posisi tengah dan kami harus peka dengan apa yang mereka tampilkan nanti,” katanya.