Walaupun memiliki bekalan selesa hasil kemenangan 4-1 pada aksi suku akhir pertama, Selangor FC tidak akan mengambil mudah cabaran Star City FC menjelang pertemuan kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.
Pengendali Selangor FC, Kim Pan Gon menegaskan pasukannya perlu mengekalkan tempo permainan dan terus memberikan tekanan kepada lawan bagi memastikan slot ke separuh akhir menjadi milik Red Giants.
Menurutnya, Piala FA adalah antara kejohanan penting buat Selangor dan pemain tidak boleh selesa hanya kerana mempunyai kelebihan tiga gol menjelang aksi di laman sendiri.
“Bagi kami, Piala FA sangat penting. Walaupun kami mempunyai kelebihan tiga gol, kami tidak boleh kehilangan tempo permainan.
“Kami memerlukan sokongan semua pihak untuk memastikan semuanya berjalan lancar dan mencapai sasaran mara ke separuh akhir,” katanya.
Pan Gon turut mengharapkan kehadiran penyokong untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan, sambil menyifatkan sokongan itu mampu membantu meningkatkan keyakinan pemain ketika beraksi di laman sendiri.
Beliau mahu aksi berkenaan berlangsung dalam suasana meriah dengan penyokong terus memberikan sokongan sepanjang perlawanan, sekali gus membantu Selangor mempamerkan aksi terbaik.
Dalam masa sama, Pan Gon turut melihat pengalaman yang diraih tujuh pemain Selangor ketika menyertai tugasan antarabangsa pada jendela FIFA dalam aksi Piala ASEAN FIFA di Jakarta baru-baru ini mampu memberikan kesan positif kepada pasukan.
Beliau berharap pengalaman dan keyakinan yang diperoleh pemain terbabit dapat diterjemahkan kepada persembahan lebih baik ketika menentang Star City, sekali gus membantu Selangor melengkapkan misi ke separuh akhir Piala FA.
Piala FA
Suku Akhir Kedua
KL City FC (3) lwn DPMM FC (3), 8.15 mlm
Selangor FC (4) lwn Star City (1), 8.30 mlm
*Dalam kurungan keputusan suku akhir pertama