sukan

Pan Gon ‘meletup’ hentam jadual ‘maut’ Liga M

Penyusunan jadual ‘maut’ Liga Malaysia (Liga M) membuatkan pengendali Selangor FC (SFC), Kim Pan Gon ‘meletup’ selepas beliau mendakwa tindakan memaksa pemain beraksi setiap 48 jam secara perlahan-lahan membunuh kualiti bola sepak tempatan.

Pan Gon meluahkan rasa kecewanya secara terbuka selepas skuad Gergasi Merah terpaksa mengharungi tiga perlawanan padat dalam tempoh seminggu, sekali gus meragut tahap kecergasan optimum pemainnya ketika menentang Sabah FC, semalam.

Menurutnya, kualiti permainan yang merosot serta risiko kecederaan tinggi kini berada di atas bahu pihak penganjur yang gagal menyediakan tempoh rehat dan pemulihan sewajarnya buat pasukan bertanding.

“Ya, bagi saya perlawanan malam ini (malam tadi) sangat sukar. Kami baru sahaja bermain dua hari lepas dan kami kena main tiga perlawanan dalam tempoh seminggu . Siapa yang susun jadual sebegini dan kualiti perlawanan apa yang mereka harapkan?

“Sukan ini adalah untuk penonton dan penyokong. Namun dengan hanya memberikan tempoh rehat 48 jam, jadual sebegini secara tidak langsung menurunkan prestasi kami. Kita tak boleh salahkan pemain kerana kita perlu melindungi mereka dan kualiti perlawanan.

“Semua pihak perlu fikir, kita tidak mempunyai bilangan perlawanan yang banyak. Kita bukan Liga Perdana Inggeris yang bermain sehingga 48 perlawanan. Jadi mengapa kita perlu lalui jadual seperti ini?,” soalnya.

Terdahulu, SFC mengesahkan slot ke suku akhir Piala FA selepas menyingkirkan Sabah FC 4-3 secara agregat menerusi kemenangan 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selepas terikat 2-2 di Stadium Likas, minggu lalu.

Chrigor Moraes muncul wira apabila meledak gol kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit ke-54 selepas jaringan Park Jun Bin pada minit ke-49 memadam kelebihan gol Eduardo Sosa pada minit ke-35.

Dalam masa sama, Pan Gon turut mempertahankan persembahan anak buahnya yang disifatkan sudah memberikan yang terbaik meskipun faktor keletihan sudah mula menjejaskan kualiti mereka menuju ke hujung permainan.

“Saya sangat menghargai semua pemain yang berjuang habis-habisan. Saya tidak boleh salahkan mereka dan saya begitu menghargai mereka. Perlawanan ini kurang berkualiti dan saya rasa itu tanggungjawab semua pihak. Kita boleh sajikan perlawanan yang berkualiti jika ada masa rehat dan persiapan yang cukup.

“Pada minit-minit akhir, kita dapat lihat semua pemain sudah terlalu letih. Pasukan mana yang boleh beraksi secara optimum selepas hanya berehat 45 ke 48 jam? Pihak berkenaan perlu adil untuk memberikan masa rehat yang wajar demi menjaga kualiti dan kebajikan pemain,” katanya.