sukan

Pan Gon mengakui eksperimen kali ini tidak menjadi

Ketua jurulatih Selangor FC, Kim dilakukannya dalam aksi suku akhir kedua Piala FA tidak menjadi sepenuhnya selepas pasukannya tewas 2-3 kepada Star City FC, sekali gus mengecewakan penyokong di laman sendiri.

Bagi Pan-gon, beliau mengambil peluang untuk menguji beberapa pemain di posisi berbeza selain memberikan ruang kepada mereka membuktikan kemampuan masing-masing, namun mengakui ada percubaan yang tidak membuahkan hasil seperti diharapkan.

Katanya, kekalahan itu sepatutnya menjadi peringatan buat skuad Gergasi Merah supaya tidak mengambil mudah peluang yang terhidang, terutama apabila mereka berupaya menjaringkan lebih banyak gol.

“Kami mencipta banyak peluang dan sepatutnya boleh menang 3-0, 4-0 atau 5-0. Tetapi kami gagal menyempurnakan peluang yang ada dan itu pengajaran yang baik buat pasukan. Apabila kita mendapat peluang tetapi gagal menjaringkan gol, akhirnya inilah yang berlaku,” katanya.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, Selangor tetap berjaya mara ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan 4-1 pada aksi suku akhir pertama, sekali gus memastikan kemaraan dengan agregat 6-4.

Selain itu, pengendali dari Korea Selatan itu mengakui barisan pertahanan Selangor berdepan tugas sukar kerana pemainnya terpaksa berhadapan situasi genting beberapa kali, sekali gus menyimpang daripada corak permainan biasa pasukan lakukan semasa latihan.

Beliau turut meluahkan rasa kesal kerana gagal menghadiahkan keputusan lebih baik kepada penyokong yang hadir memberikan sokongan di laman sendiri, sambil menegaskan pasukan perlu segera bangkit dan memperbaiki kelemahan sebelum aksi seterusnya.

“Saya benar-benar kesal dengan penyokong Selangor. Kami tidak sepatutnya kalah di laman sendiri dan mengecewakan mereka dengan cara ini. Kami perlu sedar, bangkit dan membuat persiapan lebih baik untuk perlawanan akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai aksi separuh akhir menentang Kuching City, Pan-gon mengakui lawan mereka itu perlu diberikan perhatian serius, terutama selepas memperkukuh pasukan dengan kehadiran beberapa pemain berstatus bintang.