sukan

Pan Gon percaya skuad Harimau Malaya boleh pergi lebih jauh

KUALA LUMPUR: Bekas pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon percaya skuad Harimau Malaya boleh pergi lebih jauh dan berkembang dengan lebih baik berbanding apa sudah dicapai di bawah kendaliannya setakat ini.

Pengendali dari Korea Selatan itu mengakui bola sepak negara memiliki potensi yang besar dan untuk itu, pelbagai usaha perlu giat dijalankan dan sokongan perlu terus diberikan bagi memastikan potensi yang ada dapat terus dikembangkan ke tahap yang lebih tinggi.

Tegasnya, semua pihak tidak boleh berfikir negatif dan terus fokus untuk memandang ke depan bagi memajukan lagi skuad kebangsaan dan juga mutu bola sepak dari pelbagai peringkat khususnya pengukuhan dari akar umbi.

“Malaysia ada banyak potensi yang seharusnya kita capai. Saya dapat mencapai hanya separuh daripada potensi yang ada jadi bagi saya, ini satu perkembangan yang positif.

“Anda perlu sedar hakikat ini. Sebelum saya datang, Malaysia berada di tangga sekitar 170 dan saya bawa daripada tangga ke-154 sehingga pernah mencapai ranking ke-130 dunia. Jadi anda lihat betapa besarnya potensi bola sepak Malaysia.

“Jadi semua orang di FAM perlu bekerja keras dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) memberi banyak kelebihan. Anda sudah ada kekuatan daripada situ (peringkat akar umbi) jadi fokus kepada potensi anda dan percaya kepada diri anda,” kata Pan Gon.

Terdahulu, Pan Gon mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan atas faktor komitmen peribadi dalam satu sidang media khas di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Selasa lalu.

Sebagai rekod, Pan Gon mula dilantik selaku pengendali skuad kebangsaan pada Januari 2022 bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Tan Cheng Hoe.

Skuad negara menikmati pelbagai detik indah di bawah kendalian Pan Gon antaranya menamatkan penantian penantian selama 43 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia 2023 selepas kali terakhir melakukannya pada 1979 ketika Kelayakan Piala Asia 1980.

Pan Gon juga berjaya meningkatkan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) daripada tangga ke-154 ketika dia mula dilantik sehingga pernah berada di tangga ke-130 dunia iaitu kedudukan terbaik Malaysia dalam tempoh 17 tahun

sumber:-BH

Antara perlawanan yang pasti diingati adalah kemenangan besar 10-0 ke atas Papua New Guinea serta kejayaan mengikat gergasi bola sepak Asia, Korea Selatan 3-3 pada aksi Piala Asia 2023.