sukan

Pan Gon sedang memerhati pertahanan muda (B-23)

KUALA LUMPUR: Pertahanan sedang meningkat, Harith Haiqal Adam Afkar mungkin menjadi antara pemain paling sibuk selepas khidmatnya bukan sahaja ditagih oleh skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara malah turut menarik perhatian pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon.

Pertahanan Selangor FC (SFC) itu menjadi seorang daripada 24 pemain skuad kebangsaan yang berlepas ke Oman untuk mengharungi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 berdepan pasukan di ranking ke-80 dunia itu, Khamis ini.

Selepas berakhir tugasan bersama skuad kebangsaan, pemain berusia 21 tahun itu akan terus menyertai skuad Harimau Muda bagi aksi Piala Asia B-23 2024 yang akan membuka tirainya di Qatar pada 15 April ini.

Namun, situasi itu tampak tidak melemahkan semangat pertahanan muda itu dan dia sanggup mengorbankan segala-galanya termasuklah cuti Hari Raya Aidilfitri demi membantu pasukan negara.

“Saya sudah dapat jadual untuk skuad kebangsaan dan skuad B-23 jadi saya nampak memang padat. Selepas aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti, saya akan terus melaporkan diri untuk skuad B-23 bagi persiapan ke Qatar.

“Mungkin saya tak (sambut) raya tahun ini tetapi inilah jalan yang saya pilih sebagai pemain bola sepak. Saya rasa saya perlu bekerja keras pada usia muda supaya boleh selesa ketika tua nanti,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sebagai rekod, ketiadaan Junior Eldstal yang terpaksa digugurkan susulan kecederaan mungkin membuka pintu kepada Harith untuk bersama dengan skuad kebangsaan bagi panggilan kali ini.

“Saya rasa kadangkala kita memerlukan nasib tetapi mungkin ini bukanlah sekadar nasib tetapi rezeki buat saya. Saya sudah bersama SFC selama lima tahun dan ini adalah kali pertama saya disenaraikan bersama skuad senior.

sumber:-BH

“Sudah tentu saya akan melakukan yang terbaik jika diberi peluang dan sejujurnya, saya tidak menjangka nama saya akan tersenarai dalam senarai akhir,” kata Harith.