sukan

Pan Gon yakin pemainnya mampu lakar kejutan di Arena Chang

KUALA LUMPUR: Selangor FC (SFC) perlu tampil lebih garang dan klinikal pada final kedua Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) menentang Buriram United di Arena Chang, malam esok.

Skuad bimbingan Kim Pan Gon ketika ini ketinggalan satu gol secara agregat selepas tewas 0-1 di tangan juara bertahan itu pada aksi final pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), minggu lalu.

Pan Gon mengakui mereka perlu tampil dengan corak permainan lebih menyerang sebagai usaha untuk memadam defisit satu gol seterusnya memastikan perlawanan berada dalam kawalan mereka.

Tegasnya, situasi ketinggalan itu tidak melemahkan semangat mereka, sebaliknya menjadi pembakar semangat bagi mendorong mereka memperaga persembahan yang lebih kemas di arena lawan.

“Kami masih mempunyai 90 minit lagi dan apa sahaja boleh berlaku. Kami perlu kekal kukuh, pulih dengan baik dan memperbaiki beberapa perkara.

“Saya mahu memberi galakan kepada pemain kerana saya dapat rasakan keyakinan mereka semakin meningkat. Kami akan menjadi lebih kuat,” kata Pan Gon.

Berdasarkan pertembungan pertama, skuad The Red Giants boleh dianggap tidak bernasib baik untuk menjaringkan gol selepas dua percubaan menerusi Noor Al-Rawabdeh dan Hugo Boumous terkena palang sekali gus mereka tewas buat kali pertama pada kempen ACC.

Ia juga adalah kekalahan kedua buat pengendali dari Korea Selatan itu dalam 22 perlawanan membabitkan semua pertandingan di bawah kendaliannya sejak Januari lalu.

Justeru, Pan Gon mahu anak buahnya bangkit pada aksi kedua ini sekali gus membuka kembali peluang untuk merangkul trofi pertama musim ini.

“Kami sudah memandang ke hadapan dan kami perlu fokus untuk memperbetulkan keadaan. Dari sudut teknikal dan taktikal, kami membuat persiapan secara sangat profesional.

“Saya mahu pemain lebih yakin kerana keyakinan amat penting. Kami akan ke sana dan menyerang mereka,” kata Pan Gon.